salman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Tanpa segan silu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memberitahu “bapa saya tak marah pun” apabila disoal sejurus dia didapati leka meneguk arak murah di tepi longkang sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota di sini, awal pagi semalam.
Dia yang mengaku berasal dari Flet Sri Sabah di sini mendakwa mula ketagih arak murah selepas kerap kali diberikan rakannya.
Remaja yang masih bersekolah itu dikatakan bercakap merapu ketika ditahan polis dalam operasi bersepadu dilancarkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dalam operasi itu, polis menyerbu lorong gelap di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Tamby yang dijadikan markas kegiatan tidak bermoral oleh remaja skinhead itu sejak sekian lama tanpa menghiraukan bau busuk longkang serta persekitaran kotor.
Ketika serbuan kawasan terbabit dikatakan dipenuhi dengan botol serta tin arak yang bersepah di atas jalan, dipercayai dibuang remaja berkenaan.
Dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Thamby, seramai 23 remaja iaitu 15 lelaki dan lapan gadis belasan tahun, ditahan selepas berada di bawah pengaruh arak.
Remaja perempuan terbabit juga didapati berpakaian menjolok mata.
Ketika serbuan kebanyakan mereka gagal meloloskan diri kerana sedang khayal, namun segelintir remaja cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang, tetapi dapat dipintas dan diberkas anggota polis.
Apabila ditanya, ada di kalangan remaja terbabit mengaku datang dari luar Lembah Klang termasuk dari Pahang.
No comments:
Post a Comment