Keratan Akhbar : Desa Mewah



Bantah guna laluan utama


Penduduk Taman Sunway Semenyih dan Taman Desa Mewah, Semenyih mengadakan bantahan terhadap tindakan pemaju membenarkan kenderaan berat melalui jalan utama ke taman perumahan mereka di Semenyih, semalam. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED


KAJANG 2 April - Kira-kira 100 penduduk Taman Desa Mewah dan Bandar Sunway Semenyih mengadakan bantahan aman kira-kira sejam di Jalan Sunway Semenyih berdekatan simpang masuk ke kediaman mereka.
Ini berikutan tindakan pemaju, Pusat Perniagaan Kiara yang didakwa langsung tidak menghiraukan keselamatan dan keselesaan penduduk di situ.
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Bersama kedua-dua perumahan itu, Ahmad Asmadi Adnan berkata, pihaknya kesal dengan sikap pemaju yang tidak mengendahkan aduan dan rayuan penduduk agar tidak membenarkan kenderaan berat milik pemaju menggunakan laluan utama masuk ke kediaman mereka.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 ARKIB : 09/06/2011

Samun sebelum bakar rumah


Mohd. Zabri Yusoff menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak akibat dibakar selepas disamun penjenayah di Taman Desa Mewah, Semenyih, semalam.


HULU LANGAT 8 Jun - Jenayah samun rumah sebelum bakar yang dikesan berlaku di beberapa kediaman di sekitar Semenyih dan Kajang baru-baru ini menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan tersebut.
Ini kerana suspek, dipercayai penjenayah yang sama dikesan memecah masuk rumah mangsa dengan mengumpil tingkap bilik sebelum mengambil barang-barang berharga dan kemudian membakar rumah mangsa.
Difahamkan, dua daripada kejadian itu di Kampung Sungai Kantan dan Taman Desa Mewah, masing-masing pada penghujung Mei dan Jumaat lalu berlaku ketika penghuni rumah itu bercuti.
Bagaimanapun, dalam kejadian di Taman Tasik Semenyih kelmarin, penghuninya dikatakan berada di rumah dan tidak menyedari kediaman mereka dipecah masuk sehinggalah bekalan elektrik terputus setelah berlaku kebakaran.
Sementara itu, penghuni rumah di Taman Desa Mewah, Mohd. Zabri Yusoff, 40, berkata, rumahnya musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 12 tengah malam Jumaat lalu, ketika dia pulang ke kampungnya di Kelantan.
Katanya, kebakaran itu disedari jirannya apabila melihat api marak di bahagian bawah rumah berkembar miliknya.
"Setelah pulang ke rumah, saya dapati dua unit komputer saya hilang dan saya syak rumah saya dipecah masuk sebelum dibakar," katanya yang membuat laporan polis mengenai kebakaran itu sebaik sahaja tiba di Kajang.
Timbalan Ketua UMNO Cawangan Semenyih, Hamdan Abu memberitahu, insiden yang sama turut berlaku di sebuah rumah penduduk di Taman Tasik Semenyih di sini kelmarin.
Beliau yang juga Pegawai Media di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih berkata, pihaknya percaya penjenayah yang sama memecah masuk dan melarikan barangan kemas milik mangsa sebelum membakar bahagian bawah rumah itu ketika penghuninya tidur di tingkat atas rumahnya.
"Saya mewakili penduduk di Kajang dan Semenyih meminta supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi memastikan jenayah seperti itu tidak menimpa penduduk lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rasyid Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran dan pecah rumah yang berlaku di Taman Tasik Semenyih.
Beliau bagaimanapun sedang menyiasat dakwaan penduduk tentang berlaku kes pecah masuk dan bakar di Taman Desa Mewah dan Kampung Sungai Kantan.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_05.htm&arc=hive


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 ARKIB : 27/09/2010

2 pesara berbasikal jelajah Semenanjung


KARIM Salleh (kiri) dan Ramli Salleh diiringi ahli kelab bermotosikal, berbasikal melalui Lebuhraya Lekas pada misi Jelajah 1Malaysia selepas memulakan kayuhan di Taman Desa Mewah, Semenyih, semalam. - Utusan/MOHD. FIRDAUS ISMAIL


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Kejayaan seorang pesara guru, Ramli Salleh, 59, menakluk Gunung Fuji di Jepun setinggi 3,776 meter pada tahun lepas bersama anaknya, Zailani Ariff tidak terhenti setakat itu.
Kali ini bersama jirannya, seorang pesara tentera, Karim Salleh, 60, dua warga emas itu meneruskan kecintaan mereka terhadap aktiviti lasak apabila memilih untuk berbasikal sejauh 2,580 kilometer melalui jalan pesisir pantai merentasi Semenanjung Malaysia bagi misi Jelajah 1Malaysia.
"Kami harus menyempurnakan misi ini dalam tempoh 30 hari dan pada 24 Oktober ini, jika segalanya berjalan lancar, kami akan berpatah balik ke sini.
"Saya berbasikal kerana minat mendalam terhadap aktiviti lasak dan sebagai satu cabaran kepada anak muda di luar sana untuk turut sama melakukan aktiviti berfaedah," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum memulakan kayuhan di Taman Desa Mewah, Semenyih di sini.
Misi itu bermula pada pukul 7.45 pagi dari Semenyih menuju ke hentian pertama iaitu Kuala Sungai Baru, Melaka.
Pada hari berikutnya, kayuhan akan diteruskan ke Johor sebelum bergerak ke Pantai Timur untuk melalui jalan pesisir di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Karim yang juga bekas jurulatih payung terjun untuk misi kutub utara berkata, cabaran getir bakal dihadapi mereka apabila tiba di Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak kerana perlu mendaki bukit dengan keadaan jalan curam dan berliku.
"Selain itu, kami juga harus berwaspada dengan ancaman binatang liar seperti gajah yang banyak berkeliaran di kawasan itu," katanya.
Dari Gerik, perjalanan akan diteruskan ke utara sebelum ke Baling dan seterusnya melalui Tasik Pedu untuk ke Perlis.
Dari Wang Kelian, Perlis, mereka dijadual bergerak ke Kuala Muda, Kedah, sebelum ke Kuala Kurau dan Lumut, Perak seterusnya kembali ke Selangor dan dijangka tiba di Semenyih pada 24 Oktober depan.
Ramli telah menjalani latihan intensif dengan berbasikal ke Cameron Highlands dan Padang Besar dalam tempoh 12 hari.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_21.htm&arc=hive


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 21/09/2010

Jalan Kajang-Beranang tak siap


KENDERAAN terpaksa bergerak perlahan untuk mengelak lubang di kawasan projek menaik taraf Jalan Kajang-Beranang, Semenyih yang masih belum disiapkan walaupun kerja pembinaannya telah dilakukan sejak beberapa lama. - UTUSAN/HAFIZH KHOSMAT


SEMENYIH 20 Sept. - Bila agaknya akan siap? Demikian keluhan penduduk Semenyih setiap kali melihat jalan berhampiran Taman Sunway Semenyih yang sedang dinaik taraf itu masih belum siap.
Mereka hairan walaupun sudah beberapa lama dibina namun hingga kini tidak ada tanda-tanda ia akan disiapkan.
Akibat daripada kelembapan kerja menyiapkan jalan tersebut, penduduk yang menggunakan jalan itu setiap hari terpaksa menempuh masalah kesesakan jalan raya yang teruk.
Jalan itu merupakan laluan utama untuk ke beberapa destinasi seperti Putrajaya, Kajang, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan lain di Negeri Sembilan termasuk Nilai, Mantin dan Seremban.
Ia juga digunakan oleh penduduk sekitar Beranang, Broga, Semenyih dan Pajam lantas menambahkan lagi kesesakan di situ.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati projek menaik taraf jalan itu masih memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan sepenuhnya memandangkan kepada tahap kemajuan kerja pembinaan.
Kenderaan pula dilihat terpaksa bersesak kerana terpaksa mengunakan satu lorong sahaja untuk melalui jalan tersebut.
Ini ditambah pula dengan terdapatnya simpang tiga untuk memasuki Taman Sunway Semenyih.
Situasi ini turut dilihat membahayakan pengguna kerana bukan sahaja jalan itu tidak siap malah ia juga mengalami kerosakan yang teruk.
Tahun lalu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz memaklumkan jalan itu akan dilebarkan, termasuk di simpang tiga Sunway Semenyih bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 85,000 penduduk sekitar Semenyih yang kini terpaksa mengharungi kesesakan setiap hari.
Projek pembesaran persimpangan itu telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat.
Projek berkenaan merupakan fasa pertama daripada keseluruhan rancangan untuk melebarkan Jalan Kajang-Beranang.
Ketika ini, jalan keluar Semenyih di kawasan itu mempunyai dua lorong - satu menghala ke Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dan satu lagi untuk memasuki Sunway Semenyih dan Desa Mewah.
Keadaan itu menyebabkan kesesakan berlaku setiap hari sehingga pukul 11 pagi dan juga ketika penduduk pulang dari kerja.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka bermula pada September, dan apabila siap kelak akan melancarkan perjalanan kepada mereka yang bekerja di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Bangi.
Semenyih ketika ini semakin membangun dan mengalami pertambahan penduduk yang besar kerana kedudukannya yang hampir dengan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Bangi.
Selain itu, banyak kolej dan universiti dibuka berdekatan Semenyih menyebabkan jalan ini semakin sibuk.
Sunway Semenyih sahaja mempunyai kira-kira 1,300 buah rumah manakala Desa Mewah pula 1,000 buah rumah.
Mengulas kelewatan projek itu. Johan berkata, jalan itu dijangka dapat disiapkan pada hujung tahun ini dan meminta penduduk bersabar.
Katanya, kelewatan itu disebabkan berlaku masalah kerana terdapat kabel elektrik dalam tanah di bahu jalan tersebut.
"Kelewatan ini bukan disengajakan. Masalah ini menyebabkan peruntukan tambahan diperlukan untuk mengalihkan kabel elektrik berkenaan," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, jelasnya, kerja-kerja pembinaan yang tidak terlibat dengan kawasan terdapat kabel elektrik berkenaan terus dijalankan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0921&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm&arc=hive
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 ARKIB : 11/07/2009

Jalan Semenyih dilebarkan

SEMENYIH 10 Julai - Jalan di persimpangan Sunway Semenyih dan Desa Mewah di sini akan dilebarkan bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 85,000 penduduk sekitar Semenyih yang kini terpaksa mengharungi kesesakan setiap hari.
Projek pembesaran persimpangan itu telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat hasil usaha gigih Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz sejak dipilih menjadi wakil rakyat tahun lalu.
Projek berkenaan merupakan fasa pertama daripada keseluruhan rancangan untuk melebarkan Jalan Kajang-Beranang.
"Tawaran projek pelebaran jalan berdekatan persimpangan Sunway Semenyih ini telah dikeluarkan semalam.
"Saya berusaha untuk jalan ini dilebarkan sejak dipilih menjadi ADUN kerana ia penting demi keselesaan penduduk-penduduk.
"Sejak menjadi wakil rakyat di sini, isu jalan ini yang paling mendapat tumpuan rakyat. Saya telah berjumpa kedua-dua Menteri Kerja Raya meminta projek ini dipercepatkan," kata Johan sewaktu mengumumkan projek berkenaan di sini hari ini.
Ketika ini, jalan keluar Semenyih di kawasan itu mempunyai dua lorong - satu menghala ke Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dan satu lagi untuk memasuki Sunway Semenyih dan Desa Mewah.
Keadaan itu menyebabkan kesesakan berlaku setiap hari sehingga pukul 11 pagi dan juga ketika penduduk pulang dari kerja.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka bermula pada September, dan apabila siap kelak akan melancarkan perjalanan kepada mereka yang bekerja di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Bangi.
"Semenyih semakin membangun dan mengalami pertambahan penduduk yang besar kerana kedudukannya yang hampir dengan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Bangi.
"Selain itu, banyak kolej dan universiti berada di sekitar kawasan ini menyebabkan jalan ini semakin sibuk. Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan penduduk Semenyih akan lebih selesa menggunakan jalan ini tidak lama lagi," ujarnya.
Beliau juga berharap projek pelebaran jalan itu akan mengambil kira permintaan penduduk agar lorong masuk ke Sunway Semenyih dilebarkan.
Katanya, ini kerana penduduk tidak mahu lori-lori yang membawa batu memasuki kawasan perumahan mereka untuk membuat pusingan U bagi membolehkan mereka memasuki Lebuh raya Lekas.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sunway Semenyih, Ahmad Asmadi gembira dengan pengumuman projek pelebaran jalan itu.
"Sunway Semenyih mempunyai 1,300 buah rumah manakala Desa Mewah pula 1,000 buah rumah. Projek ini akan memberi kemudahan kepada hampir 10,000 orang," katanya.
"Kami juga meminta pemaju perumahan kami agar menaik taraf persimpangan Sunway Semenyih ini agar sejajar dengan pelebaran Jalan Semenyih," katanya.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_03.htm&arc=hive


 -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 11/08/2008
0

MPKj dalam proses lantik kontraktor bersih taman

SEMENYIH 10 Ogos - Kontraktor pembersihan yang masih belum dilantik adalah punca kepada masalah taman permainan dan jalan di kawasan perumahan di sekitar kawasan ini tidak diselenggara.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Shariman Mohd. Nor berkata, pihaknya kini sedang dalam proses untuk membuat pelantikan tersebut.
Menurutnya, walaupun spesifikasi kerja telah ditentukan tetapi pihaknya masih belum membuka permohonan untuk tender.
"Apabila tender dibuka kelak dan kontraktor telah dikenal pasti, proses undian akan dilakukan untuk menentukan kawasan masing-masing,'' katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan penduduk Taman Desa Mewah di sini mengenai kawasan kediaman mereka yang tidak terurus.
Antara masalah itu ialah semak-samun yang semakin tebal, pokok hiasan di tepi jalan tidak disenggara sehingga tumbuh meliar, taman permainan kanak-kanak yang menjadi mangsa vandalisme dan masalah persimpangan jalan yang berbahaya.
Mengenai kedudukan persimpangan masuk ke taman itu yang berbahaya, Shariman berkata, pihaknya akan menyiasat aduan itu sebelum tindakan seterusnya dapat ditentukan.
"Sepatutnya sebelum sesuatu kawasan perumahan dibuka dan diluluskan, segala peraturan dan spesifikasi perlu dipatuhi oleh pemaju termasuk sistem jalan raya," katanya.
Mengenai isu padang permainan yang menjadi mangsa vandalisme dan terbiar, beliau berkata, MPKj masih berada dalam proses untuk menaik taraf kemudahan tersebut di setiap kawasan perumahan.
Tambahnya, dengan sumber kewangan yang terhad, setiap peruntukan perlu diberikan dengan teliti, secara berperingkat-peringkat dan mengikut keperluan sesebuah kawasan.
"MPKj tidak boleh menaik taraf kemudahan padang permainan di semua kawasan perumahan sekali gus kerana kos yang tinggi.
"Lagi pun, kami perlu menyiasat dahulu keadaan sesuatu taman itu kerana MPKj bukan sahaja bertanggungjawab terhadap Semenyih tetapi juga Bangi, Hulu Langat, Kajang dan banyak tempat lagi,'' katanya.
Namun, kata beliau, MPKj tidak akan bersikap lepas tangan terhadap tuntutan penduduk Taman Desa Mewah dan akan berusaha menunaikannya.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0811&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_04.htm&arc=hive
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 ARKIB : 07/08/2008
0

MPKj perlu jadual kerja tersusun

SEMENYIH 6 Ogos - Beberapa ahli jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Desa Mewah menggesa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyenggara taman perumahan itu dengan jadual yang tetap supaya lebih berkesan.
Menurut mereka, walaupun menyedari banyak lagi taman perumahan lain yang perlu diuruskan oleh MPKj tetapi mereka yakin MPKj dapat dilaksanakannya jika ada perancangan kerja yang tersusun.
Sebagai permulaan, mereka menuntut segala aduan yang telah dikemukakan kepada MPKj dan pemaju semenjak dua tahun lalu diberikan perhatian segera.
Setiausaha Rukun Tetangga (RT) Taman Desa Mewah, Norman Md. Rabani, 34, berkata, tidak banyak yang mereka tuntut tetapi setakat ini, hanya satu sahaja permintaan mereka ditunaikan oleh MPKj iaitu pembinaan bonggol di Jalan 9 dan Jalan 10.
Namun, katanya, pembinaan bonggol itu diibaratkan melepaskan batuk di tangga kerana hanya dibina pada sebelah jalan sahaja.
Tambahnya, penduduk meminta beberapa tambahan bonggol lagi di jalan yang sama kerana bonggol sedia ada tidak cukup untuk mengurangkan risiko kemalangan.
"Kami berharap tiga bonggol tambahan dapat ditambah setiap satu di Jalan 9, Jalan 10 dan jalan keluar dari Taman Desa Mewah,'' katanya.
Mengenai beberapa masalah yang menghantui penduduk di situ, beliau berkata, pihaknya sudah berulang kali menghantar surat aduan kepada MPKj tetapi ia seperti mencurah air ke daun keladi.
"Saya tidak faham mengapa pihak MPKj sukar menyelesaikan aduan penduduk Desa Mewah sedangkan ada di antara masalah itu sudah lama diadukan,'' katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi RT Taman Desa Mewah, Hassan Abdul Rashid, 38, berkata, pihak MPKj sewajarnya memberitahu kepada penduduk Desa Mewah jika ada sebarang projek hendak dilakukan di kawasan itu.
"Penduduk di sini kadang-kadang terpinga-pinga apabila sesuatu projek atau pembinaan yang dilaksanakan kerana kami selaku RT Desa Mewah tidak tahu apa yang berlaku. Apa kami nak jawab bila penduduk bertanya,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui penubuhan RT di taman itu membawa manfaat besar kerana telah berjaya mengurangkan kes jenayah sehingga 95 peratus.
"Pada tahun 2005, sebanyak 31 meter paip air dan dua buah kereta penduduk telah hilang ekoran tiada kawalan keselamatan.
"Tetapi hasil muafakat semua penduduk, kami bersama-sama mengupah pengawal dan keselamatan di Desa Mewah kini lebih terjamin,'' katanya.
Walaupun begitu, beliau berharap pihak polis dapat terus melakukan rondaan di taman itu terutama selepas tengah malam kerana kawasan itu agak sunyi dan boleh dimasuki dari bahagian belakang dan tepi yang bersempadan dengan belukar, ladang getah dan taman perumahan lain,'' katanya.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm&arc=hive

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 07/08/2008
0

Desa Mewah tidak terurus


POKOK yang menjalar naik pada satu papan tanda jalan membuktikan penyenggaraan kawasan di Taman Desa Mewah sudah lama tidak dilakukan oleh MPKj. - Gambar MOHD NAZUDEEN MAHMUD


SEMENYIH 6 Ogos - Taman Desa Mewah yang terletak berhampiran pekan Semenyih merupakan salah sebuah kawasan perumahan yang selesa dihuni dan menenangkan.
Keselesaan taman perumahan itu yang dibuka pada tahun 2003 dan kini didiami kira-kira 5,000 penduduk itu dapat dilihat menerusi lokasinya yang dekat dengan beberapa lebuh raya dan hanya setengah jam memandu ke ibu negara dan juga ke Seremban.
Jauh daripada hiruk-pikuk kota, Desa Mewah yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum juga selesa dihuni kerana hubungan penduduknya agak rapat di antara satu sama lagi hasil usaha anggota Rukun Tetangganya yang aktif.
Namun, di sebalik pelbagai kelebihan yang wujud itu, tersimpan banyak masalah yang di taman perumahan itu berikutan kegagalan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menguruskan kawasan itu dengan baik.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat pelbagai masalah yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa tempatan itu kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kebajikan penduduk Taman Desa Mewah.
Masalah terbesar yang perlu dihadapi penduduk ialah persimpangan masuk ke taman itu yang berbahaya kerana dibina berdekatan dengan satu selekoh dan terlindung oleh semak-samun.
Selain itu, permukaan jalan di persimpangan itu yang tidak rata menambahkan lagi bahaya persimpangan tersebut.
Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Desa Mewah, Zaidi Mohd. Hashim, 62, berkata, dengan pertambahan penduduk di Desa Mewah dan juga Bandar Sunway Semenyih yang terletak tidak jauh dari taman itu, persimpangan itu kini semakin sibuk.
Katanya, pemandu yang masuk atau keluar dari Desa Mewah sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah Bandar Sunway Semenyih kerana terdapat satu selekoh di situ.
"Kalau tidak berhati-hati, kemalangan memang mudah berlaku di persimpangan ini. Malah, baru-baru ini satu kemalangan telah berlaku di situ," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko kemalangan, penduduk mengambil langkah membersihkan semak-samun di persimpangan itu yang menghalang penglihatan baru-baru ini walaupun perkara itu sepatutnya dilakukan oleh MPKj.
Katanya, berasaskan jajaran jalan dari Bandar Sunway Semenyih dan lampu jalan yang dipasang, jalan itu akan dijadikan empat lorong tetapi setelah beberapa tahun menetap di situ, beliau tidak nampak ada usaha menaik taraf jalan itu akan dilaksanakan.
"Kita sudah banyak kali membuat pertanyaan kepada MPKj dan juga pihak pemaju tetapi sehingga kini tiada jawapan tentang bila laluan berkenaan akan dinaik taraf," katanya.
Selain itu, kata Zaidi, landskap yang disediakan oleh pemaju Taman Desa Mewah juga tidak diselenggara secara berkala oleh MPKj menyebabkan pokok-pokok menjadi tidak terurus.
Rumput yang tidak dipotong pula sudah menjalar melepasi tebing bahu jalan selain daun-daun kering memenuhi sepanjang tepi jalan di taman tersebut.
Menurutnya, disebabkan pihak yang bertanggungjawab tidak menyenggara kawasan itu, penduduk di situ terpaksa bergotong-royong untuk membersihkannya.
"Kami ambil inisiatif sendiri walaupun ia sebenarnya bukan di bawah tanggungjawab penduduk namun kami hanya terdaya membersihkan kira-kira 40 peratus sahaja daripada pokok-pokok yang tumbuh meliar ini,'' katanya.
Zaidi berkata, satu lagi masalah ialah banyak kemudahan di taman rekreasi taman itu sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi oleh penduduk.
Beberapa kemudahan permainan kanak-kanak di situ dilihat menjadi mangsa vandalisme kerana dibakar dan dirosakkan.
Katanya, peralatan itu dirosakkan sejak beberapa tahun lalu semasa penduduk taman itu belum lagi mengupah pengawal keselamatan.
"Kita sudah adukan masalah ini kepada MPKj semenjak tahun 2006 lagi namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menggantikan atau membaiki kemudahan permainan di situ.
"Kanak-kanak di sini tiada tempat untuk bermain malah kemudahan gelanggang bola keranjang dan sepak takraw langsung tidak boleh digunakan kerana sudah rosak teruk,'' katanya.
Menurutnya, pada waktu malam, padang itu sering menjadi tumpuan pasangan kekasih untuk melakukan kegiatan tidak bermoral kerana keadaannya yang gelap-gelita.
"Penduduk khususnya jawatankuasa surau pernah melakukan tangkapan mereka yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
"Tetapi jika ada lampu menerangi padang permainan ini, saya rasa tidak ada orang yang melakukan kegiatan tidak elok di sini," katanya.
Oleh itu, dia berharap pihak MPKj dapat turun padang memantau masalah di situ dan menyelesaikan beberapa masalah yang melanda di Desa Mewah.
"Kami juga berhak mendapat kehidupan lebih selesa dan terurus,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0807&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm&arc=hive

No comments: