KUALA LUMPUR, Mei 6, 2009
“Ini menandakan masyarakat kita sakit tenat (dari segi) rohaninya...mereka (ber)tuhan di hati, beraja di mata menyebabkan runtuh nilai dan tiada fungsinya lagi dalam Islam,” kata pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah.
Menurutnya, kes penderaan atau kecurangan yang berlaku dalam keluarga Islam makin melarat apabila masyarakat kejiranan tidak lagi mempedulikan sekeliling mereka, sebaliknya lebih mementingkan wang ringgit serta harta kekayaan.
Katanya, sikap begitu menyebabkan maksiat tidak terbendung, manakala mangsa penderaan pula lebih pasrah membiarkan diri diperlakukan ibarat binatang meskipun oleh ibu sendiri kerana berasakan tiadanya pihak yang boleh membela nasib mereka.
“Masyarakat kita sudah tanggal rasa malu dan bila tiada (malu) maka hilanglah ciri-ciri manusia itu, mereka membiarkan keburukan depan mata tanpa menegah, manakala ibu yang mendera anak memilih jalan hidup dengan bertindak ganas dari binatang.
“Pertamanya kerana dia tidak berilmu, Allah mencabut (nilai) kasih sayangnya sebab dia terlalu jauh meninggalkan Allah, sekali gus menjadikan (kata-kata) kasih sayang ibu bawa ke syurga itu sudah tiada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas muka depan Harian Metro kelmarin mengenai seorang ibu berusia 28 tahun sanggup menjadikan anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebagai tempat melepaskan geram terhadap suami, termasuk menekap tubuhnya hingga melecur.
Mangsa yang menuntut di sekolah agama di Klang turut dibelasah dengan menggunakan batang penyapu bertalu-talu di kaki hingga lebam.
Rubiah yang juga Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, berkata pihak berkuasa perlu lebih peka kepada masalah ini kerana membabitkan pembentukan masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda yang akan menerajui negara.
“Saya nampak ketika ini tiada saluran yang betul untuk mangsa ataupun masyarakat mengadu, buat laporan dan sebagainya kerana mereka tidak dilindungi, samalah juga dengan kes isteri yang didera suami-tiada tempat berlindung untuk mengelak suami,” katanya.
No comments:
Post a Comment