Friday, December 19, 2008

Blog Update

Assalamualaikum dan salam perpaduan kepada semua warga Desa Mewah.
Agak lama juga laman blog ini tidak dikemaskini . Ini adalah kerana moderator blog telah berpindah kerja di luar Selangor dan Kuala Lumpur. Dengan merasakan tanggung jawab untuk memberikan maklumat berkenaan taman kita, moderator berharap akan daapat mengemaskini laman blog ini sekerap yang mungkin.
Tahun 2008 hanya tinggal lebih kurang 11 hari lagi. Menuju ke tahun baru ini, banyak perkara yang telah berlaku di taman kita dengan disedari atau tidak. Terdapat juga kejadian yang tidak diingini berlaku namun semua dapat kita hadapi bersama.
Beberapa peristiwa berlaku di sepanjang 3 bulan laman blog ini tidak dikemas kini seperti;
1. Penyertaan RTDM sebagai wakil Desa Mewah untuk mencipta rekod didalam Malaysian Book Of Records (Merebus Ketupat terbanyak) Daerah Hulu Langat, Selangor.
2. Mesyuarat RTDM yang berlangsung pada 13/12/08.
3. Bersama surau Desa Mewah melaksanakan ibadah kurban pada 8/12/08.
dan banyak lagi. Setiap peristiwa tersebut akan cuba moderator masukkan dalam blog ini untuk maklumat warga Desa Mewah.
Kami pihak RTDM, menyeru warga penduduk agar dapat menyertai skim keselamatan Desa Mewah demi untuk menjada keamanan dan kemakmuran taman ini. Sehingga kini lebih kurang 75% penghuni di taman ini menyertai skim ini. Walaupun seluruh warga Desa Mewah adalah ahli rukun tetangga tetapi rukun tetangga hanyalah satu entiti yang mewakili warga Desa Mewah dalam untuk menyuarakan pandangan dan permasalah ke pihak Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKJ).
Di dalam rukun tetangga terdapat skim rondaan bersama yang memerlukan kerjasama penduduk untuk terlibat bersama. Telah beberapa kali skim ini cuba untuk dilakukan tetapi tidak mendapat sambutan dari penduduk. Kekurangan ini telah di ambil kesempatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri, pecah rumah dan sebagainya.
Oleh yang demikian pihak RTDM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan skim keselamatan RTDM demi untuk mengawasi keselamatan Desa Mewah. Antara yang telah dilakukan ialah dengan mengambil pengawal keselamatan yang kini mengawasi dan membuat rondaan 24 jam di keseluruhan taman kita. Banyak lagi yang perlu di lakukan demi untuk meningkatkan lagi pengawasan keselamatan dengan antara yang telah diputuskan dalam mesyuarat seperti pemasangan CCTV di pondok jaga yang akan merekodkan semua aktiviti keluar masuk kenderaan, pelawat serta warga Desa Mewah itu sendiri.
Ini semua memerlukan kos dan diharap kerjasama warga Desa Mewah dapat mendaftar dan membayar untuk perkhidmatan ini setiap bulan. Demi keselamatan serta keharmonian taman kita adalah tanggungjawab kita dan ini adalah salah satu cara. Kesibukan harian demi mencari rezeki tidak akan berbaloi sekiranya kita asyik merasakan kehidupan kita tidak selesa dan tenteram di perumahan ini.
Pihak RTDM menyeru sekali lagi agar seluruh penduduk Desa Mewah dapat memberikan kerjasama dalam setiap program dan acara yang RTDM anjurkan.
Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima serta membincangkan segala permasalahan dan cadangan yang membina demi keamanan, keharmonian, kesepakatan dan menjalin kerjasama seluruh penduduk tanpa mengira kaum, agama dan status kita.
Kami mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua atas segala sumbangan tenaga, kewangan, buah fikiran dan banyak lagi pada semua warga DESA MEWAH.
SEMOGA PERPADUAN TAMAN INI SEMAKIN UTUH,
Sekian.

No comments: