Friday, August 8, 2008

Projek buangan turunkan nilai hartanah di Semenyih



Saudara Pengarang,



SAYA amat menyokong keluhan Penduduk Sedih, Semenyih, Selangor pada 26 November 2004 mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan untuk menempatkan tapak penjara tahanan reman menggantikan Penjara Pudu dan tapak perkuburan bagi penduduk Kuala Lumpur di Semenyih. Saya percaya semua penduduk Semenyih juga bersetuju dengan keluhan tersebut.Ini memandangkan sebelum ini Semenyih yang sepatutnya dibangunkan berdasarkan pelan struktur yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kajang perlu mempertingkatkan kemudahan prasarana bagi penduduknya.Bukannya kemudahan orang lain yang tidak diperlukan dan dihumbankan ke Semenyih. Adakah cadangan tersebut termasuk dalam Pelan Struktur Semenyih? Saya melihat ia sebagai satu kesilapan besar bila sesuatu kawasan itu lambat dibangunkan dan masih banyak tanah pertanian yang boleh dijual untuk apa-apa tujuan sekali pun.Di Semenyih sendiri telah ada banyak projek yang dikatakan tidak mempunyai Feng Shui dan memberikan kemudahan kepada penduduknya seperti Penjara Kajang, Pusat Tahanan Pendatang Asing, Perkuburan terbesar Nirwana dan projek insinerator.Hampir semua projek ini boleh dikatakan ancaman keselamatan dan `hantu' kepada penduduk sekitarnya.Secara tidak langsung projek buangan itu akan menurunkan nilai hartanah di kawasan Semenyih.Lebuh raya yang sedia ada lebih menguntungkan kenderaan yang membawa pesalah/tahanan reman dan orang yang meninggal dunia berbanding penduduk Semenyih sendiri. Tapak asal Penjara Pudu pula dibangunkan untuk tujuan komersial dan kemudahan lain bagi penduduk sekitarnya manakala penduduk Semenyih menerima padahnya.Dalam hal ini, kerajaan perlu meneliti semula cadangan menempatkan penjara tahanan reman dan perkuburan bagi penduduk Kuala Lumpur di kawasan Semenyih. Cukuplah dengan apa yang telah ada. Cadangan untuk menempatkan tahanan reman dan tanah perkuburan tidak memerlukan kawasan yang besar. Kawasan lain seperti di Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Melaka yang berhampiran Kuala Lumpur mungkin mempunyai kawasan yang lebih sesuai bagi maksud tersebut.Saya percaya kerajaan negeri dan penduduk yang terlibat juga tidak menyokong projek tersebut ditempatkan di kawasan mereka. - PENDUDUK TAMAN DESA MEWAH, Semenyih, Selangor.



Dipetik dari Utusan Malaysia 7/8/08

No comments: