Friday, August 8, 2008

Desa Mewah tidak terurus

Desa Mewah tidak terurus


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN





POKOK yang menjalar naik pada satu papan tanda jalan membuktikan penyenggaraan kawasan di Taman Desa Mewah sudah lama tidak dilakukan oleh MPKj. - Gambar MOHD NAZUDEEN MAHMUD

SEMENYIH 6 Ogos - Taman Desa Mewah yang terletak berhampiran pekan Semenyih merupakan salah sebuah kawasan perumahan yang selesa dihuni dan menenangkan.

Keselesaan taman perumahan itu yang dibuka pada tahun 2003 dan kini didiami kira-kira 5,000 penduduk itu dapat dilihat menerusi lokasinya yang dekat dengan beberapa lebuh raya dan hanya setengah jam memandu ke ibu negara dan juga ke Seremban.

Jauh daripada hiruk-pikuk kota , Desa Mewah yang mempunyai komposisi penduduk pelbagai kaum juga selesa dihuni kerana hubungan penduduknya agak rapat di antara satu sama lagi hasil usaha anggota Rukun Tetangganya yang aktif.

Namun, di sebalik pelbagai kelebihan yang wujud itu, tersimpan banyak masalah yang di taman perumahan itu berikutan kegagalan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menguruskan kawasan itu dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat pelbagai masalah yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa tempatan itu kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kebajikan penduduk Taman Desa Mewah.

Masalah terbesar yang perlu dihadapi penduduk ialah persimpangan masuk ke taman itu yang berbahaya kerana dibina berdekatan dengan satu selekoh dan terlindung oleh semak-samun.
Selain itu, permukaan jalan di persimpangan itu yang tidak rata menambahkan lagi bahaya persimpangan tersebut.

Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Taman Desa Mewah, Zaidi Mohd. Hashim, 62, berkata, dengan pertambahan penduduk di Desa Mewah dan juga Bandar Sunway Semenyih yang terletak tidak jauh dari taman itu, persimpangan itu kini semakin sibuk.

Katanya, pemandu yang masuk atau keluar dari Desa Mewah sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah Bandar Sunway Semenyih kerana terdapat satu selekoh di situ.

"Kalau tidak berhati-hati, kemalangan memang mudah berlaku di persimpangan ini. Malah, baru-baru ini satu kemalangan telah berlaku di situ," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko kemalangan, penduduk mengambil langkah membersihkan semak-samun di persimpangan itu yang menghalang penglihatan baru-baru ini walaupun perkara itu sepatutnya dilakukan oleh MPKj.

Katanya, berasaskan jajaran jalan dari Bandar Sunway Semenyih dan lampu jalan yang dipasang, jalan itu akan dijadikan empat lorong tetapi setelah beberapa tahun menetap di situ, beliau tidak nampak ada usaha menaik taraf jalan itu akan dilaksanakan.

"Kita sudah banyak kali membuat pertanyaan kepada MPKj dan juga pihak pemaju tetapi sehingga kini tiada jawapan tentang bila laluan berkenaan akan dinaik taraf," katanya.

Selain itu, kata Zaidi, landskap yang disediakan oleh pemaju Taman Desa Mewah juga tidak diselenggara secara berkala oleh MPKj menyebabkan pokok-pokok menjadi tidak terurus.

Rumput yang tidak dipotong pula sudah menjalar melepasi tebing bahu jalan selain daun-daun kering memenuhi sepanjang tepi jalan di taman tersebut.

Menurutnya, disebabkan pihak yang bertanggungjawab tidak menyenggara kawasan itu, penduduk di situ terpaksa bergotong-royong untuk membersihkannya.

"Kami ambil inisiatif sendiri walaupun ia sebenarnya bukan di bawah tanggungjawab penduduk namun kami hanya terdaya membersihkan kira-kira 40 peratus sahaja daripada pokok-pokok yang tumbuh meliar ini,'' katanya.

Zaidi berkata, satu lagi masalah ialah banyak kemudahan di taman rekreasi taman itu sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi oleh penduduk.

Beberapa kemudahan permainan kanak-kanak di situ dilihat menjadi mangsa vandalisme kerana dibakar dan dirosakkan.

Katanya, peralatan itu dirosakkan sejak beberapa tahun lalu semasa penduduk taman itu belum lagi mengupah pengawal keselamatan.

"Kita sudah adukan masalah ini kepada MPKj semenjak tahun 2006 lagi namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menggantikan atau membaiki kemudahan permainan di situ.

"Kanak-kanak di sini tiada tempat untuk bermain malah kemudahan gelanggang bola keranjang dan sepak takraw langsung tidak boleh digunakan kerana sudah rosak teruk,'' katanya.

Menurutnya, pada waktu malam, padang itu sering menjadi tumpuan pasangan kekasih untuk melakukan kegiatan tidak bermoral kerana keadaannya yang gelap-gelita.

"Penduduk khususnya jawatankuasa surau pernah melakukan tangkapan mereka yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

"Tetapi jika ada lampu menerangi padang permainan ini, saya rasa tidak ada orang yang melakukan kegiatan tidak elok di sini," katanya.

Oleh itu, dia berharap pihak MPKj dapat turun padang memantau masalah di situ dan menyelesaikan beberapa masalah yang melanda di Desa Mewah.

"Kami juga berhak mendapat kehidupan lebih selesa dan terurus,'' katanya.
UUUNLKNLNKL’N2008

No comments: