Sejarah Kemerdekaan
Suara tuntutan kemerdekaan telah
lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos
1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke
Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada
Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari
1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak
sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa
mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
"Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21
Januari 1948 berjaya mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang
Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan."
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak
kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta
menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan
Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh
orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan
lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu
pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah
jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar,
Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah
dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju
dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United
Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang.
Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn
Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini
bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan
berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat
Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu
serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian
Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang
mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan
raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang
Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9
buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri
Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat
iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi
British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh
Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan
Persekutuan.
Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih
baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai
dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan
Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat
kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan
naturalisasi secara permohonan.
Selangkah orang Melayu terus mara
dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.
UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar,
Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan
sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul
Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan
sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru
dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Ternyata perjuangan
berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka,
orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba
mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara
perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511)
dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja
Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut
(1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif
Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.
Bentuk
perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula
digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh
Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung
Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di
Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya
dari Sultan Idris Training College.
Selepas itu, bentuk
perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada
kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya
daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan
membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah
Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji
Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi
hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan
dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan
kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan
air mata.
Ke arah Mencapai Kemerdekaan
Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris
bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti
berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan
Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar
(AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti
Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya,
Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.
Pilihanraya
Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti
seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta
dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan
komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama
dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan
pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya
tersebut.
Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi
tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya
kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu.
Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat
tahun.
Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet
pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil
India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal
Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak
Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz
Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T.
Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin.
Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.
Selain
memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar
supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan
kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani,
kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut,
Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada
28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis
Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama
ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.
Kebimbangan Inggeris
memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia
memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di
pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk
membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan
bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya
kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi
negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Rombongan
tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato'
Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan
T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato'
Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid
dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah
dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul
Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan,
Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh
kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.
Selaras dengan
persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah
suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid
telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos
1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul
Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl
alih dan terus berkibar megah.
Pada keesokan harinya, gema
merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka,
Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh
Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan
beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya
merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.
Rentetan Peristiwa Pengistiharan Tarikh Kemerdekaan
01 Januari 1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
Dari
kiri: Datuk Ahmad Kamil, Datuk Dr Ismail, Datuk Hj Abdul Wahab, YTM
Tunku Abdul Rahman, Dato' Mohammad Seth, Kolonel Sir H.S. Lee, Dato'
Abdul Aziz Majid dan Datuk Abdul Razak Barisan belakang: T.H.
Tan(Setiusaha Wakil Perikatan) dan Abdul Kadis Shamsuddin (Setiuasaha
wakil Raja-raja)
01 Januari 1956
Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.
01 Januari 1956
Seramai
10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO
telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar,
Singapura.
01 Januari 1956
Keratan Akhbar Melayu, 6 Januari 1956 yang menunjukkan kapal laut M.V. Asia ke Karachi, Pakistan.
Keratan Akhbar Utusan Melayu, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh YTM Tunku sedang berbincang di Lancaster House.
8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.
20 Februari 1956 (11.00 pagi)
YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.
20 Februari 1956
Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku
Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut
daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam,
Melaka.
20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Panglima Bukit
Gantang, Toh Muda Hj. Abdul Wahab Abdul Aziz dan Leong Yew Koh telah
diarak dengan kereta berwarna hitam bernombor plat M 4442 dari Batu
Berendam hingga ke Klebang untuk berehat di rumah Tan Cheng Lock.
20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berehat seketika di rumah
Tan Cheng Lock di Klebang, Melaka dalam perjalanan dari Batu Berendam ke
Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956 (3.30 petang)
Rombongan Kemerdekaan tiba di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
Orang ramai melaungkan 'Merdeka'setibanya Rombongan Kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
En Ghafar Baba, mempengerusikan perhimpunan raksasa di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.
20 Februari 1956
Datuk Abdul Hamid Jumat, Ketua Cawangan UMNO
Singapura sedang menyerahkan Peta Persekutuan Tanah Melayu termasuk
Singapura pada YTM Tunku Abdul Rahman Putra di Padang Bandar Hilir,
Melaka.
20 Februari 1956
Orang ramai mendengar ucapan YTM Tunku Abdul Rahman di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
Ucapan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Haji Abdul Wahab di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
Ucapan wakil MCA Leong Yew Koh di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman membaca Watikah
Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan yang disusun oleh En Senu Abdul
Rahman, Tn Syed Nasir Ismail dan ditulis oleh En Ibrahim Mahmood
(Pengarang Akhbar Merdeka).
20 Februari 1956
Dr. Ismail (kiri) dan Dato' Abdul Razak (kanan)
turut menandatangani pengisytiharan tarikh Kemerdekaan di Padang Bandar
Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
Watikah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan
Persekutuan Tanah Malayu yang ditandatangani oleh ahli-ahli Rombongan
Merdeka di Padang Bandar Hilir, Melaka.
20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'.
20 Februari 1956
Rombongan Kemerdekaan berarak keluar selepas mengumumkan tarikh kemerdekaan di Padang Bandar Hilir, Melaka.
Di Ambang Kemerdekaan
Peristiwa Di Malam Bersejarah
Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala
Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera
Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas,
beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama
melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam
penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan
sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga
larut malam.
Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan
dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling
padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang
mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah
dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu
rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang
sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah
perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari
dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh
negeri.
Rentetan Peristiwa / Acara
10.00 malam
Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang
terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan
Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian
padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai
2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.
10.30 malam
300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan
mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara
jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.
11.55 malam
YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan
bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring
bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal
ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman.
Apabila
tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein,
Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang
Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya
dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.
11.58 malam
Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita.
12.00 malam
Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi
menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka'
oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]
Sepasukan
12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6
pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang.
Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah
dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi
bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang
diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.
Bendera
Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi
lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda
berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union
Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang
menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]
Bendera
Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan
diiringi lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama
kalinya kepada umum pada malam bersejarah itu. Setelah bendera
Persekutuan Tanah Melayu sampai ke puncak tiang, sorakan 'Merdeka' telah
dilaungkan sebanyak tujuh kali. Tunku Abdul Rahman memberikan tabik
hormat semasa bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.
12.10 malam
Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan
Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan
diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan
memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari
negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Tunku
Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan
seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil
membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah
Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar
Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan
Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO
kepada Tunku.
Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik
Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air"
sebanyak tiga kali.
12.25 malam
Tunku Abdul Rahman berucap.
12.55 malam
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati.
1.10 malam
Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman.
1.25 malam
Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas.
1.30 malam
Acara tamat.
Penubuhan Malaysia
Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan
Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961,
menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan
Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia
bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk,
meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan
terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik
idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan
Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju
apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.
Untuk
memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari
1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk
negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya
Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan
oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir
Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik
Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang
Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan
menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada
parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan,
pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran,
pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang
memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus
bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut
telah diserahkan kepada kerajaan British.
Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah
Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri
British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut
berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting
telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough
House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah
ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah
Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili
oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord
Landsdowne.
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana
Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk
V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula
telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A.
Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley
dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri
daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji
Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara
Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng
Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada
12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan
Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan
wujud pada 31hb Ogos, 1963.
Ketika ura-ura pembentukan Malaysia
menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan
tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya
manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya
telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan
mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang
Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia
terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.
Cabaran getir yang
dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan
Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara
bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31
Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore
selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi
mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14
September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti
penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah
Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi
kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.
Pengisytiharan
tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca
deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di
Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka,
Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang
pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia
iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong
Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama
dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.
Erti Kemerdekaan
Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada
penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti
kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman
kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah.
Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh
penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan
negara.
Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511
hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3
peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila,
perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian
golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga
kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan
untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan
menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan
teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah
memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.
Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk
mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini
adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang
dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan,
kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.
Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk
memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia
telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan
diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama,
bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan,
ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan
agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak
usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat
menjadi semakin kukuh.
Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber
ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf
pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika
Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar
Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah,
rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan
jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan
bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya
membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat
moden.
Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang
ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020
telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita
bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju
sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan
agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk
membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.
Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah
bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan
tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin
kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah
dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk
kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.
55 Tahun Kemerdekaan
Setelah 55 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan
penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik.
Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan
kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan
politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang.
Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab
dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara
membangun yang maju dan stabil.
Beberapa mercu tanda seperti
projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis
industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang
pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar
Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam
penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama
Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan
pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk
kebanggaan rakyat Malaysia.
Persediaan menghadapi badai langit
terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia
(Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di
Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya
apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei
1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi
penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua
Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang
pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika,
Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan.
Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi
tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia
(1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991)
dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah
cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk
menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kini
segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah
yang amat berharga untuk sambutan 55 Tahun Kemerdekaan Malaysia.
Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya
lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan
dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi,
sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah
dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh
manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.
Kita
juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era
globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada
rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa
sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya
lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam
Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan
negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang
harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.