Wednesday, November 4, 2009

Amalkan budaya nasihat

Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.


JANGAN menjadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. - Gambar hiasan



DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.

"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud:'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.


Dipetik dari http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_04.htm

Hilang pendengaran kerana bakteria

Pusat jagaan harian kanak-kanak menjadi faktor utama kepada jangkitan dalam telinga (OME).


KEADAAN telinga penghidap OME yang kronik hingga boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang (kanan sekali).


DEMAM yang tidak berpenghujung, kerap menangis dan tidak dapat tidur menjadikan ibu bapa Aqil gelisah.

Bukan itu sahaja, tahap kesihatan anak mereka yang berusia dua tahun itu semakin merudum sejak dihantar ke pusat jagaan harian kanak-kanak berhampiran pangsapuri mereka.

Setelah berlarutan selama hampir dua minggu dan keadaan tidak bertambah baik, Aqil dibawa berjumpa dengan pakar dan diagnosis dengan segera.

Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami jangkitan dalam telinga yang disebabkan oleh bakteria.

Jelas Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim, gejala jangkitan ini dikenali sebagai Otitis Media atau jangkitan dalam telinga (OME).

“Bukan perkara luar biasa apabila seorang kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun mendapat penyakit ini. Namun, yang membimbangkan ialah ramai ibu bapa yang tidak sedar anak mereka menghidap penyakit ini,” katanya serius.

Bukan sekadar itu, pilihan yang terhad sehingga memaksa kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia beberapa bulan selepas kelahiran ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan penyakit ini semakin berleluasa.

Tegas Aminuddin lagi, kepadatan bayi dan kanak-kanak serta tahap kebersihan yang tidak dapat dipastikan di pusat jagaan itu menjadi faktor utama dalam penyebaran penyakit ini di kalangan kanak-kanak.

Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin berkata, OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.

Malah OME langsung tiada kaitan dengan telinga luar, tahi telinga atau aktiviti berenang.


OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.


Sambungnya lagi, kanak-kanak mudah mendapat OME selepas demam selesema. Seringkali ia terjadi seminggu selepas demam tersebut.

Paling utama, penyakit ini berlaku secara berulang-ulang. Lebih banyak kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih, lebih kerap jangkitan ini berulang.

Dalam kes jangkitan yang lebih kronik, jangkitan tersebut boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang dan nanah yang berterusan.

“Lebih parah, cecair dalam telinga ini yang dibiarkan akan menanah dan akhirnya mampu merosakkan gegendang telinga,” kata Aminuddin.




Hilang pendengaran

Menyentuh mengenai kesan penyakit ini, sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang tidak dirawat dengan segera bakal mengalami masalah pendengaran.

Bukan itu sahaja, kehidupan sosial kanak-kanak OME juga akan terjejas termasuk tahap pembelajaran mereka.

“Kanak-kanak OME cenderung untuk menjadi lebih agresif. Pertuturan mereka juga terjejas dan tahap kesihatan yang sering saja terganggu,” ujar Aminuddin yang membuat kajian penyakit ini beberapa tahun lalu melibatkan seramai 1,097 kanak-kanak prasekolah.

Malahan kanak-kanak OME cenderung mendapat radang otak, jangkitan pada tulang telinga serta mengakibatkan pekak berkekalan.

Bagi merawat OME, lazimnya pemberian antibiotik menjadi pilihan pakar kecuali jangkitan tersebut mencapai tahap kronik.

“Jika keadaan telinga menjadi kronik, pakar akan melakukan pembedahan kecil bagi memasukkan sejenis tiub bagi mengeluarkan cecair yang tersumbat di kawasan dalam telinga tersebut,” ujar Aminuddin.

Tambahnya, tiub tersebut bersifat sementara dan bertujuan menstabilkan tekanan dalam telinga. Selepas tiga hingga empat bulan, tiub itu akan terkeluar dengan sendirinya.

Dalam pada itu, lebih mengejutkan apabila laporan tersebut yang disiarkan dalam jurnal Otorhinolaryngol Pediatric mendedahkan sebanyak 13.8 peratus kanak-kanak menghidap penyakit ini.


KANAK-KANAK yang dihantar ke pusat jagaan harian lebih mudah dijangkiti.


Justeru, Aminuddin menggesa ibu bapa agar lebih prihatin dalam penjagaan anak-anak mereka terutama yang berumur enam tahun ke bawah.

“Paling utama, pilih pusat jagaan kanak-kanak yang mengutamakan kebersihan, tidak terlalu ramai serta peka terhadap perubahan kesihatan anak.

“Ini penting kerana OME menyerang secara senyap. Tiada simptom khusus kecuali anak mula meragam dan demam berterusan,” kata Aminuddin.