Saturday, December 26, 2009

Rayuan Sumbangan Untuk Perbelanjaan Perubatan

Desa Mewah,

Salah satu KRT dalam daerah Hulu Langat merayu sumbangan untuk perbelanjaan perubatan kepada salah seorang ajk yang telah mengidap penyakit kencing manis.
KRT tersebut ialah KRT Sungai Ramal Luar dan ajknya bernama Encik Razali Omar. Rawatan terhadap beliau telah dimulakan pada 3/10/2009 dan perbelanjaan kos rawatan dianggarkan sebanyak RM 1,200 tujuh hari seminggu melalui rawatan alternatif.
Para penderma yang bermurah hati untuk menderma boleh berhubung denag En. Razali sendiri di talian 012-245 5562 atau melaui KRT Sungai Ramal Luar di talian 03-8736 3840 (Dato' Shahbudin Abdul Wahab).
Semoga sumbangan semua dapat meringankan beban yang ditanggung oleh En. Razali sekeluarga.

Program Malam Penghayatan Silaturahim 1 Malaysia 2009

Desa Mewah,

Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Daerah Hulu Langat akan menganjurkan MALAM PENGHAYATAN SILATURAHIM 1 MALAYSIA 2009.
Malam Penghayatan Silaturahim 1 Malaysia 2009 akan diadakan untuk mengenang jasa pemimpin-pemimpin Rukun Tetangga sepanjang sessi 2008-2009. Maalam itu juga akan disampaikan Anugerah Rukun Tetangga Cemerlang, Jiran Wanita Terbaik dan Jiran Muda Terbaik dan juga Skim Rondaan Sukarela Terbaik bagi Daerah Hulu Langat.
Program tersebut akan diadakan seperti berikut;
Tarikh: 31 Disember 2009 (Khamis)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Dewan MPKj, Kajang
Diharapkan juga taman Desa Mewah dapat meraih salah satu daripada anugerah tersebut. Walau apapun, KRT Desa Mewah akan menghadiri program tersebut untuk memeriahkan lagi suasana program tersebut.
"PERPADUAN TERAS KEJAYAAN"
"MEMBUDAYAKAN PERPADUAN MERAIKAN KEPELBAGAIAN"

Monday, December 21, 2009

Unit Keselamatan KRT Desa Mewah

Desa Mewah,

Keadaan keselamatan di Desa Mewah pada umumnya adalah terkawal dan kurang kejadian yang tidak diingini telah berlaku. Walaupun ada beberapa kes kecurian serta kenderaan yang mencurigakan dilaporkan tetapi ianya masih ditahap minima.

Salah satu langkah yang diambil oleh AJK KRT Desa Mewah ialah menubuhkan unit keselamatan yang dipertanggungjawabkan mengawasi persekitaran Desa Mewah daripada anasir-anasir yang tidak diingini.

Walaupun keanggotaan penduduk didalam KRT adalah automatik tetapi unit keselamatan adalah inisiatif AJK sebagai salah satu cara mengawal keselamatan penduduk Desa Mewah. Keanggotaan penduduk kedalam unit ini adalah perlu mendaftar dan membayar yuran bulanan. Ini adalah kerana KRT Desa Mewah menggaji pengawal keselamatan untuk tujuan tersebut.

Kini unit keselamatan mempunyai 6 orang pengawal yang ditugasakan mengawal kawasan Desa Mewah sepanjang 24 jam. 3 pengawal ditugaskan pada waktu siang dan 3 lagi pengawal pada waktu malam. Rondaan dilakukan hampir setiap jam melalui setiap jalan yang terdapat di taman ini. Terdapat 2 pondok pengawal iaitu 1 di jalan utama masuk kedalam taman ini dan 1 lagi dijalan 17 kerana terdapat laluan motosikal dikawasan tersebut.

Setiap penduduk yang mendaftar akan diwajibkan untuk membayar yuran bulanan sebanyak RM25 kecuali penduduk flat sebanyak RM15.
Sejak penubuhannya pada hujung 2006, KRT Desa Mewah telah banyak menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk pelbagai kaum. Walaupun adakalanya penglibatan penduduk kurang memberangsangkan tetapi para AJK tetap cuba untuk melakukannya.

Walaupun pihak Jabatan Perpaduan menganjurkan skim rondaan untuk setiap KRT tetapi sambutannya amat tidak memberangsangkan walaupun telah beberapa kali KRT cuba menganjurkannya pada peringkat awal dahulu. Rentetan daripada itu, unit keselamatan telah ditubuhkan untuk mengurangkan jenayah yang pada masa itu pada kadar yang tinggi.

Oleh yang demikian, untuk kemudahan semua, pihak KRT menyeru penduduk Desa Mewah agar kembali memberikan sambutan terhadap unit ini agar sekurang-kurangnya dapat mengawal serta mengawasi taman kita ini dari jenayah sepanjang masa. Sokongan tuan/puan selama ini amat KRT hargai dan berharap sokongan ini dapat diteruskan demi kedamaian, keharmonian, keselesaan dan perpaduan seluruh warga Desa Mewah.

Pihak KRT mengharapkan maklum balas dari penduduk untuk membaiki perkhidmatan ini. Khidmat AJK KRT adalah sukarela dan terusnya wujud unit keselamatan di taman kita ini adalah bukti sokongan tidak berbelah bagi penduduk disini terhadap KRT.

"BERKHIDMAT UNTUK MASYARAKAT DEMI PERPADUAN"
Sekian.

Projek Penglebaran Simpang Sunway Semenyih

Desa Mewah

Sejak awal Disember 2009, terdapat kontraktor telah memulakan kerja penglebaran simpang Sunway Semenyih yang melibatkan Sunway Semenyih dan Desa Mewah.

Kerja-kerja pembersihan tapak telah dimulakan dan dapat dilihat 'barrier' diletakkan disepanjang disebelah kiri jalan arah Semenyih.

Kami amat berterimakasih diatas sokongan YB Adun Semenyih untuk pihak JKR Daerah/MPKj melaksanakan projek ini.

Kita amat sedia maklum bahawa kawasan ini akan sesak yang teramat terutamanya diwaktu puncak seperti waktu pagi dan petang untuk pergi dan balik kerja dari kedua-dua arah. Keadaan akan bertambah teruk sekiranya hujan turun.

Kami penduduk Desa Mewah dan Sunway Semenyih amat mengalu-alukan projek pembesaran simpang ini dan diharap selepas siapnya projek ini akan dapat mengurangkan kesesakan di kawasan ini.

Sepertimana yang tertulis dipapan tanda projek, projek ini akan mengambil masa setahun tetapi adalah diharapkan pihak kontrakor serta pihak yang berkenaan akan dapat memantau projek ini dengan baik supaya dapat disiapkan dengan lebih cepat dan tidak terbengkalai.

Semoga projek-projek seperti ini akan lebih banyak lagi di kawasan Semenyih kerana kawasan ini kini sedang pesat membangun. Demi untuk keselesaan dan kemudahan rakyat diharapkan semua projek akan dapat disiapkan mengikut jadual supaya ianya tidak menjadi projek 'GAJAH PUTIH'. Kemudahan-kemudahan ini amat-amat diperlukan oleh semua masyarakat di kawasan ini.



Wednesday, November 4, 2009

Amalkan budaya nasihat

Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.


JANGAN menjadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. - Gambar hiasan



DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.

Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.

Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.

Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.

"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.

Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud:'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.


Dipetik dari http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_04.htm

Hilang pendengaran kerana bakteria

Pusat jagaan harian kanak-kanak menjadi faktor utama kepada jangkitan dalam telinga (OME).


KEADAAN telinga penghidap OME yang kronik hingga boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang (kanan sekali).


DEMAM yang tidak berpenghujung, kerap menangis dan tidak dapat tidur menjadikan ibu bapa Aqil gelisah.

Bukan itu sahaja, tahap kesihatan anak mereka yang berusia dua tahun itu semakin merudum sejak dihantar ke pusat jagaan harian kanak-kanak berhampiran pangsapuri mereka.

Setelah berlarutan selama hampir dua minggu dan keadaan tidak bertambah baik, Aqil dibawa berjumpa dengan pakar dan diagnosis dengan segera.

Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu mengalami jangkitan dalam telinga yang disebabkan oleh bakteria.

Jelas Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Aminuddin Saim, gejala jangkitan ini dikenali sebagai Otitis Media atau jangkitan dalam telinga (OME).

“Bukan perkara luar biasa apabila seorang kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun mendapat penyakit ini. Namun, yang membimbangkan ialah ramai ibu bapa yang tidak sedar anak mereka menghidap penyakit ini,” katanya serius.

Bukan sekadar itu, pilihan yang terhad sehingga memaksa kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia beberapa bulan selepas kelahiran ke pusat jagaan kanak-kanak menyebabkan penyakit ini semakin berleluasa.

Tegas Aminuddin lagi, kepadatan bayi dan kanak-kanak serta tahap kebersihan yang tidak dapat dipastikan di pusat jagaan itu menjadi faktor utama dalam penyebaran penyakit ini di kalangan kanak-kanak.

Menjelaskan lebih lanjut, Aminuddin berkata, OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.

Malah OME langsung tiada kaitan dengan telinga luar, tahi telinga atau aktiviti berenang.


OME merupakan jangkitan di dalam telinga terutama di kawasan selepas gegendang telinga.


Sambungnya lagi, kanak-kanak mudah mendapat OME selepas demam selesema. Seringkali ia terjadi seminggu selepas demam tersebut.

Paling utama, penyakit ini berlaku secara berulang-ulang. Lebih banyak kanak-kanak terdedah kepada persekitaran yang tidak bersih, lebih kerap jangkitan ini berulang.

Dalam kes jangkitan yang lebih kronik, jangkitan tersebut boleh menyebabkan gegendang telinga berlubang dan nanah yang berterusan.

“Lebih parah, cecair dalam telinga ini yang dibiarkan akan menanah dan akhirnya mampu merosakkan gegendang telinga,” kata Aminuddin.




Hilang pendengaran

Menyentuh mengenai kesan penyakit ini, sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang tidak dirawat dengan segera bakal mengalami masalah pendengaran.

Bukan itu sahaja, kehidupan sosial kanak-kanak OME juga akan terjejas termasuk tahap pembelajaran mereka.

“Kanak-kanak OME cenderung untuk menjadi lebih agresif. Pertuturan mereka juga terjejas dan tahap kesihatan yang sering saja terganggu,” ujar Aminuddin yang membuat kajian penyakit ini beberapa tahun lalu melibatkan seramai 1,097 kanak-kanak prasekolah.

Malahan kanak-kanak OME cenderung mendapat radang otak, jangkitan pada tulang telinga serta mengakibatkan pekak berkekalan.

Bagi merawat OME, lazimnya pemberian antibiotik menjadi pilihan pakar kecuali jangkitan tersebut mencapai tahap kronik.

“Jika keadaan telinga menjadi kronik, pakar akan melakukan pembedahan kecil bagi memasukkan sejenis tiub bagi mengeluarkan cecair yang tersumbat di kawasan dalam telinga tersebut,” ujar Aminuddin.

Tambahnya, tiub tersebut bersifat sementara dan bertujuan menstabilkan tekanan dalam telinga. Selepas tiga hingga empat bulan, tiub itu akan terkeluar dengan sendirinya.

Dalam pada itu, lebih mengejutkan apabila laporan tersebut yang disiarkan dalam jurnal Otorhinolaryngol Pediatric mendedahkan sebanyak 13.8 peratus kanak-kanak menghidap penyakit ini.


KANAK-KANAK yang dihantar ke pusat jagaan harian lebih mudah dijangkiti.


Justeru, Aminuddin menggesa ibu bapa agar lebih prihatin dalam penjagaan anak-anak mereka terutama yang berumur enam tahun ke bawah.

“Paling utama, pilih pusat jagaan kanak-kanak yang mengutamakan kebersihan, tidak terlalu ramai serta peka terhadap perubahan kesihatan anak.

“Ini penting kerana OME menyerang secara senyap. Tiada simptom khusus kecuali anak mula meragam dan demam berterusan,” kata Aminuddin.

Sunday, October 18, 2009

Majlis Sambutan Aidil Fitri & Deepavali 2009

Desa Mewah,

Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, RTDM mengadakan majlis sambutan Aidilfitri untuk warga taman perumahan ini. Majlis ini diadakan bersama dengan sambutan Deepavali kerana perayaan untuk kaum India tersebut jatuh pada 17/10/09.




Sambutan ini mendapat sambutan yang menggalakkan setiap tahun & tahun ini sambutannya juga meriah dengan kehadiran ramai warga Desa Mewah yang pelbagai kaum dan budaya walaupun dalam keadaan sederhana.



Kerjasama antara AJK RT serta warga Desa Mewah menggalakkan dan diharapkan ianya berterusan demi kerukunan serta keamanan taman ini.






Pihak RTDM mengharapkan kemeriahan seperti ini setiap kali pelbagai acara @ aktiviti disusun dan dijalankan.

Pelbagai kaum dapat duduk sekali dan menikmati pelbagai juadah sambil dapat beramah mesra demi mengeratkan lagi jalinan persefahaman serta tolenransi antara kita semua.
SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI & DEEPAVALI.



Saturday, June 27, 2009

Paip Air Pecah

Desa Mewah, 26 Jun 2009

Kebelakangan ini kerap ada kejadian paip pecah yang menyebabkan tanah mendap serta bekalan air sering terputus.

Terbaru kejadian berlaku di Jalan 16 dimana paip utama bawah tanah telah pecah.
Laporan pantas telah dibuat penduduk dan pihak SYABAS telah datang untuk membuat kerja-kerja pembaikan dengan segera.


Dari apa yang di saksikan paip utama bawah tanah hanyalah paip PVC walaupun telah mendapat kelulusan untuk dipasang tetapi ketahanannya adalah diragui. Ini adalah kerana, tekanan yang tinggi dikawasan ini akan menyebabkan paip PVC ini 'crack' dan bocor.

Diharapkan pihak yang berkenaan dapat menilai semula pemasangan paip jenis ini terutamanya sebagai paip utama untuk rumah ke rumah.

Walauapapun, kami mengucapkan terima kasih kepada pihak SYABAS kerana bertindak pantas untuk membaiki kerosakan. Adalah amat penting kerjasama seperti ini dapat dimainkan oleh semua pihak yang berwajib agar kebajikan warga Malaysia dapat dijaga dengan baik.





DENGGI

Desa Mewah, 26 Jun 2009

Demam denggi adalah penyakit bawaan oleh nyamuk aedes yang amat merbahaya. Demam denggi ini terbahagi kepada 2 iaitu DENGGI BIASA dan DENGGI BERDARAH.


Denggi berdarah adalah yang lebih merbahaya kerana boleh menyebabkan kematian. Di taman Desa Mewah ini, terdapat kes demam denggi yang dilaporkan tetapi kes sebenar yang dilaporkan adalah tidak diketahui.

Pada 26 Jun 2009 yang lalu, satu semburan asap telah dilakukan oleh pihak yang berwajib dengan tujuan pengawalan penyakit ini dari merebak.

Demam Denggi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Denggi (genus Flavivirus) yang disebar oleh nyamuk Aedes betina. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).

Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 - 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda. Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika, dengan taburan geografi serupa dengan malaria. Disebabkan oleh satu daripada empat virus serotype yang berkait rapat dari genus Flavivirus, famili Flaviviridae, setiap serotype cukup berbeza menjadikan tiadanya perlindungan bertindan (cross-protection) dan wabak denggi yang disebabkan oleh pelbagai serotype (hyperendemicity) boleh berlaku. Denggi disebarkan kepada manusia oleh nyamuk Aedes aegypti (hanya kadang-kala oleh Aedes albopictus).

Tanda dan gejala

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah - break-bone fever) dan gatal-gatal.
Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bnintik-bintik merah terang, dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah - pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh. Tanda pada kulit yang klasik ialah seluruh kulit tubuh bertukar kemerahan diselangi dengan tompok-tompok kulit warna yang normal (island of white in a sea of red).

Kemungkinannya terdapat gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-cirit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luarbiasa radang otot jantung (cardiomyopathy).

Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam (dikenali sebagai pola biphasic). Secara klinikal bilangan sel darah pembeku (platelet) akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ke tiga (third space loss di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya), kerana kapilari darah menjadi rapuh (capillary fragillity). Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan.

Kes DHF juga menunjukkan demam tinggi, fenomena pendarahan, thrombocytopenia dan haemoconcentration. Sebahagian kecil kes membawa kepada sindrom kejutan denggi (dengue shock syndrome) atau DDS yang mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Diagnosis

Diagnosis denggi kebiasaannya dibuat secara klinikal. Gambaran klasik adalah demam tanpa sumber jangkitan tempatan, bintik-bintik gatal dengan thrombocytopenia dan kemungkinan leukopenia.

Kajian serologi dan PCR (polymerase chain reaction) digunakan bagi mengesahkan diagnosa denggi sekiranya diperlukan secara klinikal.

Rawatan dan Pencegahan

Rawatan utama yang dilakukan oleh pihak hospital sekarang adalah terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan makan, terutamanya minum air. Sekiranya pesakit tidak mahu / mampu minum, tambahan melalui cecair intravena mungkin diperlukan untuk menghalang kekeringan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya.

Pada masa kini para saintis masih belum menemui vaksin untuk Menentang demam denggi flavivirus. Cara mencegah denggi yang utama yang dilakukan oleh pelbagai pihak buat masa sekarang adalah dengan menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air (seperti dalam bekas bunga) terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Penggunaan kelambu dan juga semburan penghalau serangga juga boleh membantu tetapi semuanya ini tidak memberi banyak makna kepada mereka yang telah dijangkiti denggi.

Bersama-samalah kita menjaga kebersihan persekitaran rumah terutamanya kawasan atau bekas-bekas yang boleh menakung air perlu dibersihkan secara kerap agar pembiakan nyamuk aedes dapat dikawal.


Tuesday, June 2, 2009

Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah KRT Zon Semenyih

Desa Mewah, Jun 2, 2009.

Satu Kejohanan Bola Sepak 9 sebelah KRT Zon Semenyih telah berlangsung dengan jayanya pada 30 Mei 2009 bertempat di Stadium Kajang, Kajang. 

Kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan 
ini telah menarik minat 11 KRT daripada 19 KRT Zon Semenyih  yang berdaftar dengan Jabatan Perpaduan. Tujuan sebenar kejohanan ini diadakan ialah untuk mengenali para AJK KRT yang terlibat di kawasan KRT Zon Semenyih.

Upacara perasmian telah dihadiri oleh Datuk Markiman Kobiran, Puan Noorzilawati Mohd Sharif (Jabatan Perpaduan) serta AJK KRT Desa Mewah. 
Bacaan doa disempurnakan oleh Ustaz Zakirin. Perasmian kejohanan ini telah disempurnakan oleh Datuk Markiman Kobiran. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengalu-alukan kejohanan seperti ini diadakan dengan tujuan memupuk semangat setiakawan setiap bangsa di Malaysia khususnya di Zon Semenyih ini. Bagi membuktikan bahawa bangsa Malaysia boleh hidup aman didalam sesuatu kawasan walaupun pelbagai bangsa menduduki kawasan tersebut.

Melalui permainan bola sepak yang juga sukan nombor satu Malaysia dapat menyatukan bangsa Malaysia tanpa mengira warna kulit dan diharapkan ini dapat dikekalkan sampai bila-bila. 

Setiap perlawanan telah dapat diadakan dengan semangat kesukanan yang tinggi dan setiap maslah timbul dapat diselesaikan dengan perbincangan antara penganjur dan pengurus pasukan yang terlibat.

Dalam kejohanan ini yang melibatkan 12 pasukan telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap pasukan mengandungi 3 pasukan dan perlawanan secara liga diperingkat kumpulan telah diadakan. Perlawanan telah dimulakan pada jam 10.00 pagi. Johan setiap kumpulan telah melayakkan diri keperlawanan separuh akhir yang telah diadakan disebelah petang.  

Empat pasukan yang layak ke separuh akhir ialah wakil KRT Desa Mewah A & B,  KRT Sekyen 5 Bdr Rincing dan KRT Fasa 7 Bdr Tasik Kesuma. KRT Desa Mewah B telah menentang KRT Fasa 7 Bdr Tasik Kesuma dalam perlawanan pertama dan perlawanan dimenangi KRT Fasa 7 Bdr Tasik Kesuma dengan sepakan penalti 3-2 setelah perlawan sepenuh masa berkesudahan dengan seri 1-1. KRT Desa Mewah A pula menentang KRT Sekyen 5 Bdr Rincing dalam perlawanan separuh akhir kedua tetapi KRT Desa Mewah A juga tewas menerusi sepakan penalti 3-2 (sepenuh masa seri 0-0).

Untuk menentukan tempat ke 3 & 4, lambungan syiling telah dilakukan oleh YB Johan dan kesudahannya KRT Desa Mewah B mendapat tempat ke 3. Perlawanan akhir yang melibatkan pasukan KRT Sekyen 5 Bdr Rincing dan KRT Fasa 7 Bdr Tasik Kesuma telah berlangsung dengan hebat tetapi akhirnya KRT Seksyen 5 Bdr Rincing telah menjadi juara dengan jaringan 1-0.

Majlis penyampaian hadiah telah dilakukan oleh YB Johan serta En. Mohd Radzi (Jabatan Perpaduan).



Diharapkan kejohanan ini boleh menjadi acara tahunan dan dianjuran secara bergilir oleh KRT-KRT dalam Zon Semenyih ini.



MAJULAH SUKAN UNTUK SEMUA. 

Thursday, May 21, 2009

Pembaikpulihan Taman Permainan Kanak-kanak

Desa Mewah, Mei 21, 2009

Taman permainan kanak-kanak di kawasan stadium mini Desa Mewah sepertimana yang kita ketahui telah dirosakkan oleh segelintir orang yang tidak bertanggungjawab. 

Pihak RT telah menghantar surat kepada MPKj untuk tujuan pemberitahuan serta mengharapkan pihak MPKj menbuat pembaikan terhadap kemudahan ini.

Untuk pengetahuan warga Desa Mewah, peralatan permainan kanak-kanak yang dirosakkan telahpun dibaik p
ulih oleh kontraktor yang di pilih oleh MPKj lebih kurang 2 bulan yang lepas. Pihak RT Desa Mewah mengucapkan terima kasih atas pembaik pulihan tersebut.

Satu isu disini ialah barang-barang yang telah digunakan oleh kontraktor tersebut seperti tong gam/bitumen untuk menampal rubber pad tidak diangkut keluar dari kawasan tersebut. Begitu juga dengan rubber pad yang tidak digunakan atau rosak yang telah diganti baru tidak dibuang atau diangkut ke tempat pembuangan sampah. 

Keadaan ini adalah kurang menyenangkan penduduk disini kerana risau barangan tersebut boleh disalahguna oleh orang yang tidak bertanggungjawab seperti remaja yang membuat kerosakkan pada peralatan tersebut seperti dibakar atau perkara-perkara lain yang boleh membahayakan kanak-kanak yang ingin bermain disitu.

Sewajarnya pihak MPKj atau kontraktor yang dilantik lebih bertanggungjawab terhadap perkara-perkara ini yang boleh menyebabkan masalah lain kemudian. Diharapkan tindakan segera akan diambil untuk mengeluarkan barangan yang tidak digunakan dari kawasan tersebut. 

Monday, May 18, 2009

Teknik hadapi detik cemas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Sebagai persediaan awal membantu masyarakat khususnya golongan berisiko tinggi mempertahankan diri daripada menjadi mangsa jenayah, Umno cawangan Gemilang, Petaling Jaya Selatan di sini, mengadakan bengkel ‘Pertahanan diri: Bertindak bijak dengan ancaman jenayah’ kepada penduduk sekitarnya, kelmarin.

Bengkel diadakan dengan kerjasama KickStart Academy (KickStart) memberi penekanan kepada kaum ibu serta kanak-kanak bertujuan membantu mereka mengenali kaedah seni mempertahankan diri yang boleh diguna pakai pada saat kecemasan di samping mempelbagaikan corak pembelajaran di kalangan kanak-kanak.

Ketua Wanita Umno cawangan Flet Taman Datuk Harun, Ramlah Hashim, berkata masyarakat terutama kaum wanita dan kanak-kanak memang perlu didedahkan kepada asas seni pertahanan diri sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berikutan peningkatan kadar jenayah terhadap golongan itu.

Katanya, golongan berisiko terutama kanak-kanak perempuan bukan saja memerlukan perlindungan golongan dewasa, malah perlu tahu bagaimana mahu melindungi diri.

“Memanglah soal keselamatan kanak-kanak itu terletak di atas tanggungjawab ibu bapa, tapi sebagai alternatif, mereka (kanak-kanak) juga sebenarnya boleh menjaga diri sendiri jika tahu sedikit asas seni mempertahankan diri.

“Biarpun cuma asas, sekurang-kurangnya mereka tahu cara untuk melepaskan diri atau memukul bahagian mana yang boleh menyebabkan diri mereka terlepas daripada terus menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian bengkel itu.

Menurutnya, program itu sebenarnya satu aktiviti tahunan yang dianjurkan untuk kanak-kanak yang sebelum ini lebih menumpukan kepada aspek pembelajaran terhadap murid di sekolah.

“Ini juga sebahagian aktiviti yang kami sediakan kepada kanak-kanak di sini, selain kelas pengajaran yang kami adakan setiap minggu.

“Cuma yang lainnya, kali ini kami mengajar mereka mengenai aspek pertahanan diri dan selaras dengan matlamat itu, kami turut mengundang ibu bapa kanak-kanak terbabit,” katanya.

Perunding Keselamatan Peribadi KickStart, Saiful Hamiruzzaman, berkata aspek pendidikan terhadap cara untuk mempertahankan diri ini memang penting terhadap kanak-kanak serta wanita yang kini menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, apa yang ditekankan dalam bengkel itu ialah supaya mereka dapat melepaskan diri daripada penjenayah dan bukan untuk menumpaskan penjenayah.

“Kami di sini bukan mengajar mereka menumpaskan penjenayah sebaliknya kami menunjukkan cara mereka boleh melepaskan diri jika mengalami situasi seperti diragut atau cuba diculik,” katanya.

Pelajar, Norazianidayu Mohd Azhar, 11, berkata selepas apa yang dipelajarinya itu, dia kini tahu sedikit sebanyak teknik melepaskan diri daripada penjenayah.


Dipetik dari  http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090518073856/Article/index_html

Sunday, May 17, 2009

Taklimat Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Zon Semenyih

Desa Mewah, Mei 17, 2009

Satu taklimat berkenaan dengan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran KRT Desa Mewah dengan sokongan Jabatan Perpaduan Daerah Hulu Langat telah diadakan pada 16 Mei 2009 jam 10 malam 
yang dipengerusikan oleh En. Zaidi Mohd Hashim (Pengerusi KRT Desa Mewah). Jabatan Perpaduan juga telah menghantar wakil iaitu Puan Noorzilawati Mohd Sharif untuk menjadi pemerhati serta menjawab persoalan berkenaan dengan Jabatan Perpaduan.

Taklimat ini dihadiri oleh sebilangan AJK serta wakil dari beberapa KRT Zon Semenyih bertujuan untuk menerangkan serta mendapatkan feedback berkenaan dengan pelbagai isu samada berkenaan dengan syarat-syarat atau undang-undang pertandingan.

Tarikh yang dicadangkan telah dipersetujui oleh KRT yang hadir iaitu pada 30 Mei 2009.  Antara isu yang dibangkitkan ialah
  1. penyertaan pelbagai kaum dalam satu pasukan
  2. penjelasan had umur seperti penyertaan pemain berumur 40 tahun keatas
  3. yuran penyertaan yang dikenakan samada boleh di turunkan ke RM 100.
  4. bilangan pemain dalam satu pasukan
  5. protes sekiranya terdapat pemain import dalam satu pasukan
  6. jangkamasa perlawanan
  7. tarikh tutup pendaftaran pasukan dan pengesahan pemain
  8. adakah pasukan luar dibenarkan selain daripada KRT - tidak dibenarkan dan hanya taman yang mempunyai KRT sahaja yang dibenarkan
  9. warna pakaian (jersi) pasukan- KRTDM akan menyediakan bip sekiranya terdapat KRT yang mempunyai jersi dengan warna yang sama
  10. pengadil serta penjaga garisan
  11. isu berbangkit
Pihak penganjur akan memperbaiki peraturan pertandingan dan akan menyerahkan ke setiap KRT melalui fax atau pos atau melalui talifon setelah persetujuan diperolehi.

Pihak penganjur mengharapkan kerjasama serta kejujuran setiap KRT berkenaan dengan pemain yang didaftarkan dan mendaftarkan pasukan sebelum 23 Mei 2009 untuk memudahkan penganjur membuat persiapan.

Pihak penganjur juga akan memanggil sekali lagi setiap KRT yang mendaftarkan pasukan untuk tujuan mencabut undi untuk perlawanan sebelum 30 Mei 2009. 

KRT Desa Mewah mengharapkan pertandingan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan meriah serta dapat dielakkan kontravasi demi kelancaran pertandingan .

Semangat kesukanan juga hendaklah diterapkan dalam pasukan walaupun setiap pasukan bermain untuk menang serta mengondol hadiah yang lumayan.
 

Saturday, May 16, 2009

Pasukan Kompang Desa Mewah

Desa Mewah, Mei 16, 2009

Pasukan kompang Desa Mewah telah ditubuhkan dibawah aktiviti KRT Desa Mewah. Ditubuhkan pada pertengahan tahun 2008, kini mempunyai keahlian seramai 25 orang terdiri dari pelbagai peringkat umur. 

Namun demikian, pasukan kompang ini masih memerlukan pertambahan ahli kedalam pasukan ini. Keahlian adalah percuma dan pasukan ini mempunyai jurulatih luar yang berkaliber untuk memberikan latihan yang berkesan.

Pasukan ini diketuai oleh Cikgu Razak dan penolongnya ialah En. Hazim. Semua kaum boleh menyertai pasukan ini. Walaupun tujuan asalnya ialah untuk menambah aktiviti untuk penduduk Desa Mewah tetapi pasukan ini kini telah mendapat jemputan untuk bermain kompang terutamanya di kenduri-kenduri perkahwinan sekitar Semenyih, Kajang dan Bangi.
  Latihan pasukan kompang ini diadakan pada setiap hari Sabtu malam Ahad bertempat di bilik gerakan KRT selepas solat Isya'. 

Pihak KRT mengalu-alukan penyertaan warga Desa Mewah kedalam pasukan ini, setidak-tidaknya untuk mengeratkan silaturahim dikalangan penduduk serta amat sesuai untuk anak-anak muda sebagai aktiviti mengisi masa lapang yang berfaedah. KRT memberikan sokongan sepenuhnya untuk menjayakan aktiviti seperti ini.  
   
PIHAK KRT DESA MEWAH MENGUCAPKAN 

SELAMAT HARI GURU
16 MEI 2009

JASAMU MENDIDIK ANAK BANGSA AMAT DIHARGAI UNTUK MASA DEPAN BANGSA DAN NEGARA.

TERUSKAN PERJUANGAN 

Mesyuarat AJK KRTDM 03/2009

Desa Mewah, Mei 16, 2009

Satu mesyuarat AJK KRTDM yang dipegerusikan oleh En. Zaidi telah diadakan pada 15 Mei 2009 bermula jam 10 malam untuk membincangkan perkara-perkara berikut;



  1. Mengesahkan minit mesyuarat bil: 02/2009 yang diadakan pada 27 Febuari 2009
  2. Pembentangan serta mengesahkan laporan kewangan bagi bulan Feb & Mac 2009
  3. Laporan biro-biro dalam KRTDM terutamanya biro keselamatan, jiran wanita & kebajikan. Biro keselamatan kini menambah AJK dengan melantik Cikgu Razak serta En. Mutaiyah untuk memperkemaskan serta untuk lebih efektif lagi biro ini. Jiran wanita diharap dapat melaksanakan cadangan-cadangan yang telah dibentangkan seperti kelas memasak etc secepat mungkin. Biro kebajikan bercadang untuk menganjurkan Hari Kesihatan serta keselamatan di Desa Mewah, En. Subra serta En Mutaiyah akan mengemukakan proposal kepada pengerusi untuk dibincangkan serta tindakan lanjut untuk aktiviti-aktiviti yang dicadangkan. 
  4. Hal-hal lain yang berkaitan pada mesyuarat yang lepas. Bekalan elektrik kekal ke bilik gerakan serta pondok jaga akan diperolehi secepat mungkin kerana kabel telah dipasang ke bilik gerakan. Hanya meter serta kabel ke pondok jaga akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat. 
  5. Pembentangan penganjuran Pertandingan Bola Sepak 9 sebelah Zon Semenyih. Persetujuan serta sokongan Jabatan Perpaduan Hulu Langat telah diperolehi, surat untuk stadium serta peralatan ke MPKj telah dihantar, surat ke YB Johan dan penaja untuk sokongan serta sumbangan telah dihantar. Budget serta aturcara telah dibentangkan dlam mesyuarat kepada pengerusi serta AJK. Terdapat sedikit tokok tambah pembaikan diperlukan. Taklimat untuk wakil KRT Zon Semenyih akan dibuat pada 16/5/09.
  6. Membincangkan aduan serta cadangan penduduk untuk pembaikan kawasan serta perkhidmatan rukun tetangga. Tindakan segera ialah dengan menghantar surat ke pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
  7. Membincangkan hal berkenaan dengan AJK yang tidak aktif demi kelancaran pentadbiran KRT. Mencadangkan AJK yang tidak aktif supaya melepaskan jawatan untuk memberi ruang kepada AJK baru. Ini adalah penting kerana terdapat pelbagai isu berbangkit da sekiranya AJK tidak aktif, isu-isu tersebut tidak akan selesai dan penduduk akan memberikan respon yang negatif terhadap KRTDM kelak. 
  8. Membentangkan hal-hal berkenaan dengan kerosakan kemudahan-kemudahan di Desa Mewah terutamanya yang melibatkan kemudahan awam seperti taman permainan kanak-kanak, mini stadium etc. SU akan menulis surat kepada pihak yang berwajib supaya tindakan pembaikan segera diambil.
  9. Pembentangan laporan berkenaan dengan kejadian ragut atau pecah rumah serta langkah-langkah pro-aktif yang perlu diambil untuk mengurangkan serta mencegah kejadian berulang. Pengawal perlu lebih pro-aktif dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap serta memberitahu segera segala kejadian tersebut kepada AJK keselamatan untuk laporan polis dibuat. Mencadangkan rondaan polis yang lebih kerap di taman ini. 
                                   
Dengan kepelbagaian perkara yang dibincangkan secara agak menyeluruh, para AJK perlu memberikan komitmen yang tinggi sebagai wakil kepada penduduk untuk menegahkan pelbagai isu serta permasalahan untuk diatasi oleh KRT sendiri atau diajukan kepada pihak yang berwajib. 

En. Norman (SU) memaklumkan bahawa akan diadakan satu mesyuarat untuk membincangkan Pertandingan Bolasepak 9 sebelah anjuran KRT Desa Mewah dengan sokongan Pejabat Perpaduan Hulu Langat pada 16 Mei 2009, jam 9.30 malam bertempat di bilik gerakan KRT Desa Mewah. Semua 19 wakil KRT Zon Semenyih telah dimaklumkan dan dijangka kesemua KRT akan menghadiri mesyuarat serta taklimat pertandingan ini.

En. Zaidi mengharapkan kerjasama yang jitu dari AJK KRTDM serta mengucapkan tahniah atas usaha-usaha untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti samada di peringkat taman atau daerah.

Jabatan Perpaduan mengharapkan KRT Desa Mewah dapat menganjurkan Pertandingan Bolasepak 9 sebelah peringkat Daerah Hulu Langat, Selangor yang mempunyai lebih kurang 150 KRT. Pihak KRT Desa Mewah akan berusaha untuk penganjuran tersebut yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.

Pihak KRT Desa Mewah mengharapkan AJK dan penduduk akan terus memberikan kerjasama serta sokongan demi kemakmuran dan keselesaan tinggal ditaman ini. 

Friday, May 15, 2009

Kerosakkan Yang Perlu Pembaikan

    
Jalan Mendap di Jalan 15

Jalan mendap di Jalan utama menuju ke Flat

Penutup manhole yang telah hilang di Ground Floor kawasan Flat.

Keadaan diatas adalah merbahaya terutama kepada jentera bermotor terutamanya motorsikal. Keadaan ini perlu diperbaiki dengan segera bagi mengelakkan kemalangan atau kejadian yang tidak diingini.

Pihak RT akan menulis surat kepada pihak yang berkaitan untuk memperbaiki keadaan @ kerosakan ini. Keselamatan para penduduk adalah penting terutamanya ketika memandu pada waktu malam dan lampu jalan tiada (tidak menyala).

MPKj dan IWK diharapkan dapat mengambil tindakan yang sepatutnya dengan secepat mungkin.

Kemudahan Di Desa Mewah

Desa Mewah, Mei 15, 2009

Pelbagai kemudahan disediakan di taman ini samada di sediakan oleh pihak pemaju ataupun yang diusahakan oleh penduduk taman ini sendiri.

Antara yang disediakan oleh pihak pemaju ialah
  1. Taman permainan kanak-kanak
  • di hadapan Jalan 11
  • antara Jalan 5 dan Jalan 3
  • Jalan 21
  • di kawasan Flat  
     2.  Mini stadium yang dilengkapi dengan gelanggang bola keranjang 
          dan grand stand disamping laluan berjogging
     3.  Lampu jalan
     4.  Lot kedai pejabat

Persoalannya disini ialah berkenaan dengan penjagaan @ maintenance terhadap kemudahan-kemudahan tersebut, adakah ianya masih dibawah pemaju atau telah diserahkan ke MPKj?

Apa yang dapat diperhatikan disini ialah banyak kemudahan-kemudahan tersebut rosak seperti gelongsor di kawasan flat yang telah pecah serta beberapa lagi kemudahan yang rosak teruk dan tiada tindakan oleh MPKj untuk pembaikan.

      
Gambar 1: Gelongsor yang telah rosak (kawasana Flat)

                                                         
              Gambar 2: Antara permainan yang rosak (hadapan Jalan 11)

                                                               
                                       Gambar 3: Buaian yang telah rosak (hadapan Jalan 11)

Kemudahan-kemudahan ini adalah penting untuk para penduduk membawa anak-anak mereka beriadah pada waktu petang. Untuk menjana masyarakat yang sihat, semua penduduk perlu bersenam disamping dapat menghilangkan stress setelah seharian penat bekerja.

Penduduk mengharapkan MPKj dapat mengambil langkah pro-aktif menyelenggara peralatan permainan kanak-kanak ini demi keselamatan mereka.

Thursday, May 14, 2009

Pemerhatian Di Persekitaran Desa Mewah - Siri 1

Tuan,

Sukacita dikemukakan 3 pemerhatian untuk perhatian.

1. Lori-lori yang membawa bahan binaan kerap membuat pusingan di simpang tiga memasuki Taman Desa Mewah. Lori tersebut kebanyakkanya dari Kajang yang ingin menghantar barangan di kedai hardware bersebelahan Stesen Minyak Shell. Tindakan ini mungkin akan mengundang kemalangan jalan raya di masa hadapan.

2. Pembaikan Taman Permainan di berhampiran Padang basketball (berhadapan rumah Semi D) telah siap. Namun didapati terdapat sisa bahan binaan termasuk satu tong drum yang kemungkinan mengandungi bahan pelekat bagi alas taman permainan masih tidak dilupuskan. Sisa bahan tersebut mungkin akan disalahgunakan bagi penagih gam yang memang kreatif.

3. Terdapat pemilik rumah iaitu di No. 19 Jalan 6 yang meletakkan 3 pasu bunga di atas jalan (bahu jalan) yang sebelum ini digunakan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut bagi meletak kenderaan. Perkara ini akan mengundang pergaduhan jika pihak lain cuba mengalih atau terlanggar pasu yang diletakkan tersebut.

Sukacita perkara ini dikemukakan untuk perhatian demi kemakmuran kehidupan di Desa Mewah.


Hamzah Ishak
mantanani@yahoo.com

Wednesday, May 13, 2009

Telefon bimbit di sekolah

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.
Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.


Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.

Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?

Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.

Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?

Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.

Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.

“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.

Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.

“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.

“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.

“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.

“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.

Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.

“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.

“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.

“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.

“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?

“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.

“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.

“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Dipetik dari: Harian Metro 13/5/2009

Sunday, May 10, 2009

'Jiwa kosong, dahaga perhatian’'

PEGANGAN agama yang longgar serta penekanan ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian akademik adalah antara penyebab utama jiwa pelajar tertekan lalu mudah terjebak dalam kejadian tidak diingini termasuk jenayah.

Tidak cukup dengan itu, pelajar yang rata-ratanya berada dalam lingkungan usia kritikal turut tertekan akibat kesuntukan masa - menghadiri sesi persekolahan biasa pada waktu pagi atau petang disusuli sekolah agama atau kelas tuisyen yang perlu diikuti.

“Ini menjadikan kehidupan mereka amat tertekan. Jadual mereka padat dengan tanggungjawab akademik serta perlu memenuhi tuntutan ibu bapa sepanjang masa.

“Jiwa mereka kosong kerana tidak mempunyai masa untuk diri sendiri seperti relaks atau melakukan kegiatan yang diingini. Keadaan mungkin dapat dielakkan jika mereka mempunyai pegangan agama kerana jiwa dan rohani mereka terisi,” kata pakar motivasi remaja, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, ketika dihubungi baru-baru ini.

Berikutan itu, mereka menjadikan kesempatan menemui atau lepak bersama rakan-rakan di dalam atau luar sekolah, sebagai saluran melepaskan tekanan.

“Keadaan bahaya apabila mereka tidak pedulikan latar belakang rakan, asalkan boleh serasi. Jika rakan yang baik, tidak mengapa, tetapi andai kawan yang digauli itu nakal, ia boleh menarik pelajar itu terjebak sama.”

Faktor lain, katanya, adalah disebabkan keadaan diri pelajar sebagai golongan ‘pencari perhatian.’

“Pelajar bukan saja golongan yang suka mencuba pelbagai perkara baru. Tetapi mereka juga dahagakan perhatian, biarpun caranya berbeza antara satu individu kepada yang lain. Bagi pelajar cerdik, masalah itu tidak timbul kerana mereka sentiasa dipuji.

“Tetapi bagaimana dengan pelajar yang tidak pernah dipuji guru mahu pun ibu bapa sendiri? Ini menyebabkan ada di antara sanggup melakukan perkara seperti jenayah dan seterusnya dipuji rakan dalam kumpulan itu.

“Jika dihukum di khalayak ramai sekali pun, ada di antaranya berasa seronok dan bangga kerana sudah mendapat perhatian pelajar lain.”

Katanya, perkembangan masa kini yang menyaksikan kemudahan maklumat di hujung jari, juga mendedahkan pelajar kepada pelbagai pengaruh bahaya.

Dr Tengku Asmadi menyifatkan usia 14 hingga 15 tahun sebagai tempoh paling kritikal kerana pelajar itu dalam proses menuju keremajaan dan mencari identiti.

“Apa juga pengaruh yang datang, mudah meresap masuk. Keadaan mungkin sebaliknya jika mereka mempunyai benteng pertahanan diri dan mental hasil kekuatan rohani serta asuhan ibu bapa yang baik.”

Bagi menangani masalah ini, beliau berkata, ia seharusnya bermula di rumah dan barulah diikuti peranan guru dan sekolah.

“Ibu bapa perlu sedar mereka yang menetapkan acuan dan seterusnya diisi guru dan bahan lain yang menjadi sumber rujukan pelajar. Andai acuan itu lemah, sudah pasti diri pelajar itu juga goyah dan bermasalah," katanya.

Dipetik dari http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090412073203/Article/