Saturday, May 16, 2009

Pasukan Kompang Desa Mewah

Desa Mewah, Mei 16, 2009

Pasukan kompang Desa Mewah telah ditubuhkan dibawah aktiviti KRT Desa Mewah. Ditubuhkan pada pertengahan tahun 2008, kini mempunyai keahlian seramai 25 orang terdiri dari pelbagai peringkat umur. 

Namun demikian, pasukan kompang ini masih memerlukan pertambahan ahli kedalam pasukan ini. Keahlian adalah percuma dan pasukan ini mempunyai jurulatih luar yang berkaliber untuk memberikan latihan yang berkesan.

Pasukan ini diketuai oleh Cikgu Razak dan penolongnya ialah En. Hazim. Semua kaum boleh menyertai pasukan ini. Walaupun tujuan asalnya ialah untuk menambah aktiviti untuk penduduk Desa Mewah tetapi pasukan ini kini telah mendapat jemputan untuk bermain kompang terutamanya di kenduri-kenduri perkahwinan sekitar Semenyih, Kajang dan Bangi.
  Latihan pasukan kompang ini diadakan pada setiap hari Sabtu malam Ahad bertempat di bilik gerakan KRT selepas solat Isya'. 

Pihak KRT mengalu-alukan penyertaan warga Desa Mewah kedalam pasukan ini, setidak-tidaknya untuk mengeratkan silaturahim dikalangan penduduk serta amat sesuai untuk anak-anak muda sebagai aktiviti mengisi masa lapang yang berfaedah. KRT memberikan sokongan sepenuhnya untuk menjayakan aktiviti seperti ini.  
   
PIHAK KRT DESA MEWAH MENGUCAPKAN 

SELAMAT HARI GURU
16 MEI 2009

JASAMU MENDIDIK ANAK BANGSA AMAT DIHARGAI UNTUK MASA DEPAN BANGSA DAN NEGARA.

TERUSKAN PERJUANGAN 

Mesyuarat AJK KRTDM 03/2009

Desa Mewah, Mei 16, 2009

Satu mesyuarat AJK KRTDM yang dipegerusikan oleh En. Zaidi telah diadakan pada 15 Mei 2009 bermula jam 10 malam untuk membincangkan perkara-perkara berikut;



  1. Mengesahkan minit mesyuarat bil: 02/2009 yang diadakan pada 27 Febuari 2009
  2. Pembentangan serta mengesahkan laporan kewangan bagi bulan Feb & Mac 2009
  3. Laporan biro-biro dalam KRTDM terutamanya biro keselamatan, jiran wanita & kebajikan. Biro keselamatan kini menambah AJK dengan melantik Cikgu Razak serta En. Mutaiyah untuk memperkemaskan serta untuk lebih efektif lagi biro ini. Jiran wanita diharap dapat melaksanakan cadangan-cadangan yang telah dibentangkan seperti kelas memasak etc secepat mungkin. Biro kebajikan bercadang untuk menganjurkan Hari Kesihatan serta keselamatan di Desa Mewah, En. Subra serta En Mutaiyah akan mengemukakan proposal kepada pengerusi untuk dibincangkan serta tindakan lanjut untuk aktiviti-aktiviti yang dicadangkan. 
  4. Hal-hal lain yang berkaitan pada mesyuarat yang lepas. Bekalan elektrik kekal ke bilik gerakan serta pondok jaga akan diperolehi secepat mungkin kerana kabel telah dipasang ke bilik gerakan. Hanya meter serta kabel ke pondok jaga akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat. 
  5. Pembentangan penganjuran Pertandingan Bola Sepak 9 sebelah Zon Semenyih. Persetujuan serta sokongan Jabatan Perpaduan Hulu Langat telah diperolehi, surat untuk stadium serta peralatan ke MPKj telah dihantar, surat ke YB Johan dan penaja untuk sokongan serta sumbangan telah dihantar. Budget serta aturcara telah dibentangkan dlam mesyuarat kepada pengerusi serta AJK. Terdapat sedikit tokok tambah pembaikan diperlukan. Taklimat untuk wakil KRT Zon Semenyih akan dibuat pada 16/5/09.
  6. Membincangkan aduan serta cadangan penduduk untuk pembaikan kawasan serta perkhidmatan rukun tetangga. Tindakan segera ialah dengan menghantar surat ke pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
  7. Membincangkan hal berkenaan dengan AJK yang tidak aktif demi kelancaran pentadbiran KRT. Mencadangkan AJK yang tidak aktif supaya melepaskan jawatan untuk memberi ruang kepada AJK baru. Ini adalah penting kerana terdapat pelbagai isu berbangkit da sekiranya AJK tidak aktif, isu-isu tersebut tidak akan selesai dan penduduk akan memberikan respon yang negatif terhadap KRTDM kelak. 
  8. Membentangkan hal-hal berkenaan dengan kerosakan kemudahan-kemudahan di Desa Mewah terutamanya yang melibatkan kemudahan awam seperti taman permainan kanak-kanak, mini stadium etc. SU akan menulis surat kepada pihak yang berwajib supaya tindakan pembaikan segera diambil.
  9. Pembentangan laporan berkenaan dengan kejadian ragut atau pecah rumah serta langkah-langkah pro-aktif yang perlu diambil untuk mengurangkan serta mencegah kejadian berulang. Pengawal perlu lebih pro-aktif dengan mengadakan rondaan yang lebih kerap serta memberitahu segera segala kejadian tersebut kepada AJK keselamatan untuk laporan polis dibuat. Mencadangkan rondaan polis yang lebih kerap di taman ini. 
                                   
Dengan kepelbagaian perkara yang dibincangkan secara agak menyeluruh, para AJK perlu memberikan komitmen yang tinggi sebagai wakil kepada penduduk untuk menegahkan pelbagai isu serta permasalahan untuk diatasi oleh KRT sendiri atau diajukan kepada pihak yang berwajib. 

En. Norman (SU) memaklumkan bahawa akan diadakan satu mesyuarat untuk membincangkan Pertandingan Bolasepak 9 sebelah anjuran KRT Desa Mewah dengan sokongan Pejabat Perpaduan Hulu Langat pada 16 Mei 2009, jam 9.30 malam bertempat di bilik gerakan KRT Desa Mewah. Semua 19 wakil KRT Zon Semenyih telah dimaklumkan dan dijangka kesemua KRT akan menghadiri mesyuarat serta taklimat pertandingan ini.

En. Zaidi mengharapkan kerjasama yang jitu dari AJK KRTDM serta mengucapkan tahniah atas usaha-usaha untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti samada di peringkat taman atau daerah.

Jabatan Perpaduan mengharapkan KRT Desa Mewah dapat menganjurkan Pertandingan Bolasepak 9 sebelah peringkat Daerah Hulu Langat, Selangor yang mempunyai lebih kurang 150 KRT. Pihak KRT Desa Mewah akan berusaha untuk penganjuran tersebut yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.

Pihak KRT Desa Mewah mengharapkan AJK dan penduduk akan terus memberikan kerjasama serta sokongan demi kemakmuran dan keselesaan tinggal ditaman ini. 

Friday, May 15, 2009

Kerosakkan Yang Perlu Pembaikan

    
Jalan Mendap di Jalan 15

Jalan mendap di Jalan utama menuju ke Flat

Penutup manhole yang telah hilang di Ground Floor kawasan Flat.

Keadaan diatas adalah merbahaya terutama kepada jentera bermotor terutamanya motorsikal. Keadaan ini perlu diperbaiki dengan segera bagi mengelakkan kemalangan atau kejadian yang tidak diingini.

Pihak RT akan menulis surat kepada pihak yang berkaitan untuk memperbaiki keadaan @ kerosakan ini. Keselamatan para penduduk adalah penting terutamanya ketika memandu pada waktu malam dan lampu jalan tiada (tidak menyala).

MPKj dan IWK diharapkan dapat mengambil tindakan yang sepatutnya dengan secepat mungkin.

Kemudahan Di Desa Mewah

Desa Mewah, Mei 15, 2009

Pelbagai kemudahan disediakan di taman ini samada di sediakan oleh pihak pemaju ataupun yang diusahakan oleh penduduk taman ini sendiri.

Antara yang disediakan oleh pihak pemaju ialah
  1. Taman permainan kanak-kanak
  • di hadapan Jalan 11
  • antara Jalan 5 dan Jalan 3
  • Jalan 21
  • di kawasan Flat  
     2.  Mini stadium yang dilengkapi dengan gelanggang bola keranjang 
          dan grand stand disamping laluan berjogging
     3.  Lampu jalan
     4.  Lot kedai pejabat

Persoalannya disini ialah berkenaan dengan penjagaan @ maintenance terhadap kemudahan-kemudahan tersebut, adakah ianya masih dibawah pemaju atau telah diserahkan ke MPKj?

Apa yang dapat diperhatikan disini ialah banyak kemudahan-kemudahan tersebut rosak seperti gelongsor di kawasan flat yang telah pecah serta beberapa lagi kemudahan yang rosak teruk dan tiada tindakan oleh MPKj untuk pembaikan.

      
Gambar 1: Gelongsor yang telah rosak (kawasana Flat)

                                                         
              Gambar 2: Antara permainan yang rosak (hadapan Jalan 11)

                                                               
                                       Gambar 3: Buaian yang telah rosak (hadapan Jalan 11)

Kemudahan-kemudahan ini adalah penting untuk para penduduk membawa anak-anak mereka beriadah pada waktu petang. Untuk menjana masyarakat yang sihat, semua penduduk perlu bersenam disamping dapat menghilangkan stress setelah seharian penat bekerja.

Penduduk mengharapkan MPKj dapat mengambil langkah pro-aktif menyelenggara peralatan permainan kanak-kanak ini demi keselamatan mereka.

Thursday, May 14, 2009

Pemerhatian Di Persekitaran Desa Mewah - Siri 1

Tuan,

Sukacita dikemukakan 3 pemerhatian untuk perhatian.

1. Lori-lori yang membawa bahan binaan kerap membuat pusingan di simpang tiga memasuki Taman Desa Mewah. Lori tersebut kebanyakkanya dari Kajang yang ingin menghantar barangan di kedai hardware bersebelahan Stesen Minyak Shell. Tindakan ini mungkin akan mengundang kemalangan jalan raya di masa hadapan.

2. Pembaikan Taman Permainan di berhampiran Padang basketball (berhadapan rumah Semi D) telah siap. Namun didapati terdapat sisa bahan binaan termasuk satu tong drum yang kemungkinan mengandungi bahan pelekat bagi alas taman permainan masih tidak dilupuskan. Sisa bahan tersebut mungkin akan disalahgunakan bagi penagih gam yang memang kreatif.

3. Terdapat pemilik rumah iaitu di No. 19 Jalan 6 yang meletakkan 3 pasu bunga di atas jalan (bahu jalan) yang sebelum ini digunakan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut bagi meletak kenderaan. Perkara ini akan mengundang pergaduhan jika pihak lain cuba mengalih atau terlanggar pasu yang diletakkan tersebut.

Sukacita perkara ini dikemukakan untuk perhatian demi kemakmuran kehidupan di Desa Mewah.


Hamzah Ishak
mantanani@yahoo.com

Wednesday, May 13, 2009

Telefon bimbit di sekolah

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.
Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.


Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.

Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?

Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.

Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?

Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.

Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.

“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.

Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.

“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.

“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.

“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.

“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.

Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.

“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.

“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.

“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.

“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?

“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.

“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.

“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Dipetik dari: Harian Metro 13/5/2009